Tuesday, August 10, 2010

Saman ekor tambah beban rakyat



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Tindakan kerajaan untuk menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak membayar saman ekor hanya akan menyebabkan pemandu mengalami masalah yang lebih membebankan termasuk pelanggaran undang-undang yang lain.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, mereka yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar saman ekor sudah pasti akan mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui cukai jalan dan ia akan membawa implikasi yang lebih serius apabila berlaku kemalangan.
"Kerajaan tidak wajar sama sekali mengaitkan kesalahan memandu laju dengan keperluan undang-undang untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans. Apakah yang ada dalam akal fikiran pembuat polisi ini?.
"Kita menghalang mereka yang melanggar satu peraturan daripada mematuhi peraturan lain. Janganlah kerana kesalahan saman ekor akan melarat kepada masalah kemalangan jalan raya yang mungkin melibatkan kematian tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan.
''Inilah yang dikatakan lain bengkak, lain pula yang bernanah," katanya di dalam blogwww.drkhir.com.
Kerajaan sebelum ini membuat keputusan akan mengumumkan kedudukan muktamad isu saman ekor termasuk menetapkan kadar bayaran yang sesuai kepada pesalah trafik dalam tempoh sebulan ini.
Mohamad Khir berkata, kerajaan perlu mengkaji semula tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak menjelaskan saman ekor supaya tidak membebankan mereka untuk memperbaharui cukai jalan.
Beliau berkata, rakyat mempunyai hak untuk mencabar saman ekor di mahkamah tetapi malangnya, ramai yang tidak mengetahui mereka disaman sehinggalah hendak memperbaharui cukai jalan.
Justeru katanya, peluang untuk mencabar di mahkamah tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa melanggar undang-undang dengan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans.
"Adakah ini adil kepada orang ramai? Pemimpin politik dan pegawai kerajaan tidak boleh saling tuding-menuding jari dalam isu ini, sedangkan rakyat di bawah berhadapan dilema bebanan disenaraihitamkan. Pisau dan mentimun di tangan mereka jangan sampai diambil alih oleh rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment