Tuesday, August 10, 2010

Selesai hubungan intim, Karpal timbul isu poligami



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Selepas membangkitkan dakwaan mengenai hubungan romantis antara Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif, barisan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini 'mengorak' langkah dengan memainkan isu poligami pula.
Isu tersebut ditimbulkan oleh peguam bela utama, Karpal Singh sejurus selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menolak permohonan pembelaan untuk memanggil saksi utama pendakwa yang juga pengadu kes itu serta Farah Azlina menjawab dakwaan hubungan intim tersebut.
Karpal secara tiba-tiba memohon untuk memfailkan afidavit terhadap seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria yang memfailkan afidavit jawapan bersama-sama pegawai penyiasat, Supritendan Jude Blacious Pereira atas dakwaan telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah.
''Hanafiah telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah iaitu berkahwin kali kedua di Thailand dan cuba mengesahkan perkahwinan itu di Kota Bharu, Kelantan. Kita tidak boleh ada timbalan pendakwa raya yang merupakan penjenayah mengendalikan kes ini.
''Salah laku ini berjangkit. Kami bukan hendak menangguhkan perbicaraan tetapi salah laku ini perlu dihentikan,'' ujar peguam tersebut.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan membantah permohonan yang dibuat secara mengejut itu dengan alasan isu poligami tidak ada kena-mengena dengan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang tersebut.
Ujarnya, pihak pembelaan sepatutnya menjawab afidavit jawapan Mohamad Hanafiah yang difailkan pada Rabu lalu berhubung permohonan Anwar membatalkan pertuduhan liwat ekoran dakwaan hubungan romantis antara pengadu dan Farah Azlina.
''Tiada afidavit balasan difailkan terhadap afidavit yang jawapan Hanafiah. Sekarang nak bangkitkan isu kahwin dua, satu isu yang tidak ada kaitan.
''Adakah dengan berkahwin sekali lagi di Thailand bermaksud Hanafiah seorang yang tidak jujur? Hanafiah menjawab notis usul berlandaskan apa yang beliau ketahui dan bukannya seperti Anwar yang memfailkan notis berdasarkan apa yang dia dengar,'' balas Mohd. Yusof.
Sepanjang isu poligami itu dibangkitkan, Mohamad Hanafiah yang duduk di belakang Mohd. Yusof dilihat agak terganggu dan sesekali dilihat menggeleng-geleng dan menggosok-gosok kepalanya beberapa kali.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohamad Zabidin menangguhkan seketika prosiding sesi petang itu dan pada pukul 3.13 petang, beliau membacakan keputusannya yang menolak permohonan tersebut.
Keputusan itu dibuat dengan alasan isu kahwin kali kedua di Thailand tidak mempunyai kaitan dengan perbicaraan dan tidak boleh dijadikan faktor untuk memanggil Mohamad Hanafiah memberi keterangan terhadap dakwaan tersebut.
Karpal bagaimanapun masih tetap dengan pendiriannya untuk memfailkan afidavit mengenai perkara tersebut bagi mencabar kredibiliti Mohamad Hanafiah.
''Awak (Karpal) boleh fail apa pun tetapi pada masa ini saya ingin mendengar hujah berhubung permohonan untuk membatalkan pertuduhan,'' tegas hakim.
Akur dengan ketegasan hakim, Karpal memulakan hujahnya berhubung permohonan untuk membatalkan pertuduhan liwat ke atas anak guamnya dengan mendakwa berlaku salah guna proses mahkamah dan Mohd. Saiful Bukhari boleh mengakses kepada semua dokumen pihak pendakwaan melalui 'teman wanitanya'.
Mohd. Yusof bagaimanapun membantah hujah tersebut dengan menyatakan apa yang dikatakan oleh saksi utama pendakwa itu telah diketahui oleh orang awam sejak dua tahun lalu.
Malah, segala rekod perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi juga telah diedarkan oleh pembangkang di seluruh negara dan kemungkinan seluruh dunia.
''Tindakan pihak pembelaan memfailkan bermacam-macam permohonan, notis dan afidavit serta melengah-lengahkan perbicaraan sebenarnya menyalahgunakan proses mahkamah,'' tegas Mohd. Yusof.
Sejurus ketua pasukan pendakwaan itu menamatkan hujahnya, Karpal memohon penangguhan sehingga esok untuk membalas hujah Mohd. Yusof.

No comments:

Post a Comment