Friday, September 17, 2010

Azmin sah tanding Timbalan Presiden


KOTA KINABALU 16 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali hari ini menamatkan spekulasi apabila mengumumkan akan bertanding jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan November ini.
Keputusan yang sudah dijangkakan itu bagaimanapun menimbulkan sedikit tanda tanya apabila Ahli Parlimen Gombak itu memilih Sabah sebagai lokasi mengumumkan pertandingan bagi menentang seorang lagi calon, Datuk Zaid Ibrahim.
Azmin sebelum ini pernah dilantik sebagai Pengerusi PKR Sabah tetapi ditolak oleh pemimpin tempatan diketuai Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan penyokong kuat Zaid.
"Kenapa, tidak bolehkah?" jawabnya ketika diasak pemberita alasan dia memilih Sabah sebagai lokasi mengumumkan pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR itu pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau diiringi Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin; Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ansari Abdullah; Exco negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman.
Katanya, keputusan untuk bertanding itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada pemimpin tertinggi parti itu, termasuk daripada penyandang, Dr. Syed Husin Ali.
Beliau juga menafikan keputusannya itu akan menyebabkan parti itu berpecah dua.
"Saya hanya menawarkan diri. Saya akan menerima dan menghormati keputusan ahli," katanya.

No comments:

Post a Comment