Friday, September 17, 2010

tindakan tegas peguam terlibat jenayah


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Majlis Peguam menggesa polis supaya segera bertindak tegas terhadap mana-mana pengamal undang-undang yang telah disenarai hitam oleh badan itu kerana terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya hanya boleh menghalang mereka daripada mengamalkan profesion undang-undang dengan menyenaraihitamkan mereka.
"Kita tidak ada kuasa untuk memenjarakan peguam yang bersalah kecuali memastikan mereka tidak lagi mengamalkan profesion mereka lagi," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Perlembagaanku Fasa Keenam sempena Hari Malaysia di sini hari ini.
Ragunath diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pihak terhadap Majlis Peguam supaya bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu baru-baru ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam misalnya mencadangkan supaya Majlis Peguam mengaudit aktiviti dan kekayaan semua peguam terutama membabitkan mereka yang pernah dikaitkan dengan kes-kes jenayah.
Menurut Mohd. Ali, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain baru-baru ini.
Ragunath berkata, sehingga kini, Majlis Peguam menyenaraihitamkan kira-kira 30 hingga 40 peguam yang terlibat dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang namun kuasa untuk menghukum mereka bukan terletak pada majlis itu.
Katanya, sebarang laporan mengenai peguam yang melakukan jenayah perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan hanya ke balai polis biasa seperti yang dilaksanakan sekarang.
"Dengan ini tindakan terhadap peguam-peguam terbabit akan dilaksanakan secara tegas," katanya.
Menurutnya, Majlis Peguam juga sedia bekerjasama dengan polis dalam memastikan peguam yang terlibat dalam jenayah seperti pecah amanah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan mengenai kes-kes jenayah melibatkan peguam di negara ini.
Mengenai cadangan Mohd. Ali itu, Ragunath berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peribadi setiap ahlinya termasuk mengenal pasti harta atau aset yang dimiliki mereka.

No comments:

Post a Comment