Friday, September 17, 2010

Misi ketiga MRA berlepas ke Pakistan Isnin ini


Petugas NGO memunggah bantuan kemanusiaan dari rakyat Malaysia untuk membantu mangsa banjir di Pakistan baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Kutipan Dana Kemanusiaan Pakistan anjuran Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) yang dilancarkan 28 Ogos lalu setakat ini berjaya mengumpulkan wang kutipan sebanyak RM200,000.
Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Masud berkata, dana itu akan digunakan dalam program pemulihan di negara Asia Selatan tersebut seperti pemasangan saluran paip air bawah tanah dan pembinaan 100 rumah perlindungan separa kekal di Charsaddar dan Nowshera.
Beliau berkata, projek itu perlu diberikan keutamaan demi pembekalan air bersih berterusan dan pembinaan tempat perlindungan buat mangsa banjir memandangkan musim sejuk semakin hampir.
Katanya, projek di kedua-dua kawasan berkenaan bakal memberi manfaat kepada penduduk di 50 kampung di sana.
"Misi bantuan seterusnya akan berlepas Isnin ini diketuai Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik untuk meningkatkan koordinasi dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan memantapkan operasi bantuan MRA di utara Pakistan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada 20 Ogos lalu, MRA dalam misi penghantaran pertamanya menghantar dua sukarelawan dengan membawa dana bantuan kecemasan bernilai RM42,000.
Dalam misi penghantaran keduanya pada 28 Ogos sehingga 9 September lalu, sebanyak RM50,000 dalam bentuk bantuan wang ringgit serta bekalan air bersih berjaya disampaikan MRA kepada wakil NGO di sana.
Sementara itu, Dr. Ishak berkata, MRA dengan bantuan NGO Al Khidmat Foundation di Pakistan dalam misi kedua pada 9 September lalu telah mengedarkan 1,000 unit pek bantuan kepada 1,000 keluarga mangsa banjir di Tangi, Nowshera sempena sambutan Aidilfitri.
"Pek bantuan khas itu mengandungi tepung gandum, beras, kacang dal, minyak masak, minyak sapi, serbuk teh, gula, garam, sirap ros dan dua pasang pakaian yang bernilai RM83 setiap pek.
"Mangsa banjir yang menerima bantuan tersebut ucapkan syukur dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan," katanya.
Sumbangan untuk tabung itu boleh disalurkan melalui akaun Tabung Mangsa Banjir Pakistan Maybank di nombor 5640-9820-6365. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman webwww.mra.my atau hubungi talian 03-2697-2007.

No comments:

Post a Comment