Friday, September 17, 2010

Sukar kenal pasti punca kematian mangsa rentung


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Mencari punca kematian pada mayat yang rentung apatah lagi sudah menjadi abu cukup mencabar kerana perlu melalui beberapa ujian forensik.
Memandangkan kesan nyata seperti cap jari sudah terhapus, pasukan forensik terpaksa mencari bukti daripada abu mayat, tulang dan gigi mangsa selain mengharapkan petunjuk pada senjata atau apa juga maklumat yang boleh membantu siasatan.
Menurut pakar forensik sebuah hospital yang enggan disiarkan namanya, mayat yang sudah rentung amat sukar disahkan cara kematiannya.
"Hanya pengakuan suspek, saksi kes selain bahan bukti yang ditemui di lokasi kejadian serta keadaan tulang yang sepadan dengan senjata pembunuhan sahaja yang mungkin dapat membantu pihak perubatan forensik mengesahkan punca kematian mangsa.
"Sampel-sampel yang dikumpul akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dijalankan ujian DNA yang memerlukan satu tempoh masa bergantung kepada keadaan mayat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa yang terlibat diperlukan untuk mengesahkan identiti mayat terbabit.
"Terdapat empat kategori punca kematian yang biasa dijalankan oleh perubatan forensik iaitu kes biasa melibatkan serangan jantung atau penyakit, kemalangan jalan raya, bunuh diri atau kes bunuh sama ada mangsa dipukul, ditikam atau ditembak.
"Pasukan perubatan forensik akan bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Kimia bagi menyelesaikan kes-kes jenayah berat khususnya kes pembunuhan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment