Tuesday, September 7, 2010
Lebaran sunyi tanpa Achik
TATKALA kebanyakan insan bertuah tidak sabar menanti kehadiran Lebaran yang bakal menyusul sedikit masa lagi untuk meraikan bersama insan tersayang, ada hati yang terusik dek kerana kehilangan insan yang amat dicintai.
Pemilik nama, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau mesra disapa Tasha mengakui kehadiran Lebaran kali ini tidak sama ertinya seperti Lebaran sebelum ini setelah kehilangan suami tercinta, Abdillah Murad Mohd Shaari atau Achik pada April lalu.
Dek kerana asyik melayan kerenah dua anaknya, Puteri Nur Safiyya, 2 tahun 8 bulan dan Puteri Nur Sumayya, 1 tahun 4 bulan, yang enggan berenggang darinya, Tasha berkata dia masih belum membuat sebarang persiapan walaupun umat Islam akan menyambut raya kurang seminggu lagi.
“Selalunya kami akan membuat persiapan pada pertengahan Ramadan setiap tahun. arwah adalah orang paling sibuk untuk pergi membeli-belah. Namun setelah pemergiannya, saya lebih senang membuat persiapan secara sederhana.
“Anak-anak sukar berpisah dengan saya, terutamanya yang sulung kerana masih trauma dengan kehilangan arwah. Sedangkan untuk makan pun kadang kala tidak sempat, kerana perlu melayan mereka, inikan pula mahu keluar membeli-belah,” kata wanita tabah ini yang kelihatan semakin kurus, kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Tambah Tasha lagi, jika ditanya mengenai perasaannya menyambut Ramadan dan Syawal tanpa suami di sisi, Tasha berkata isteri mana yang tidak sedih apabila kali pertama menjalani ibadah puasa dan menyambut raya tanpa suami tersayang seperti tahun-tahun sebelumnya.
Apatah lagi sejak hidup bersama pada 20 November 2003, mereka tidak pernah berenggang lama dan sentiasa menyambut Ramadan dan Syawal bersama. Bukan dia seorang yang merasai kehilangan bahkan anak bongsunya yang baru pandai bercakap juga seperti tercari-cari arwah di rumah.
“Saya reda dan tidak mahu lagi meratapi pemergian arwah. Tapi saya tidak mampu berbohong setiap saat saya akan terkenang arwah dan terasa sayu sangat.
“Tapi saya juga tidak mahu berterusan menangis tanpa kesudahan kerana saya sudah terlalu puas menangis. Lagipun arwah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menjaga dua harta kami yang paling berharga,” katanya sambil memandang ke arah Saffiya yang duduk di pangkuannya.
Apabila ditanya tentang situasi di pagi raya, Tasha mengakui masih belum dapat membayangkan keadaan pada 1 Syawal nanti.
“Saya tidak tahu bagaimana pada pagi raya nanti. Keadaan pastinya berubah, jika dulu selepas solat Aidilfitri, kami akan ke kubur anak sulung kami, Puteri Rania sebelum menziarahi kubur ayah arwah.
“Kemudian kami akan ke rumah keluarga masing-masing. Memandangkan rumah keluarga kami berdekatan, jadi pada hari raya pertama pun kami dapat beraya di rumah keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang akan tetap beraya di rumah keluarga arwah pada hari raya nanti.
Ketika ditanya mengenai juadah kegemaran arwah pada pagi raya, Tasha berkata ketupat nasi dan sambal taucu mesti menjadi menu wajib di atas meja.
Menyentuh tentang karakter arwah semasa hayatnya, Tasha mengakui arwah seorang yang penyayang dan gemar memanjakan isteri dan anak-anak tidak kira masa.
“Jika arwah perlu ke Johor atau ada persembahan di luar daerah, dia pasti akan menghubungi kami setiap hari. Paling lama pun hanya lima hari kami berpisah,” katanya lagi.
Arwah rancang bawa ke Angkasapuri
Mengimbau kembali pagi sebelum kemalangan, arwah ada menghubungi Tasha kerana mengikut rancangan awal arwah kepada rakannya pada pagi itu, dia mahu membawa Tasha dan anak-anak ke Angkasapuri untuk menonton siaran langsung GAH 1.
Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya, Tasha tidak mendengar panggilan telefon pada pagi tersebut. Arwah bagaimana pun hanya menghubungi Tasha sebaik tiba di Kuala Lumpur agar menonton persembahannya secara langsung.
“Jika pagi itu saya mendengar bunyi telefon dan menjawab panggilan dari arwah, saya tidak pasti apakah saya masih berada di sini sekarang,” katanya lagi.
Achik meninggal dunia sejurus kenderaan MPV yang dipandu arwah kemalangan dan terbakar di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan.
Arwah yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban setlah selesai menjalani program siaran langsung GAH1 di Angkasapuri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment