Tuesday, September 7, 2010
Tinggal di kaki lima
SKUDAI – Akibat desakan hidup keluarga yang sering berpindah- randah dan kini tinggal di kaki lima, persekolahan dua beradik berumur 10 dan 12 tahun turut tercicir apabila terpaksa berhenti sekolah sejak lebih setahun lalu.
Kanak-kanak terbabit, M Pavithra,10, hanya bersekolah setakat darjah tiga di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar Pulai, manakala kakaknya, M Durga Devi, 12, terpaksa melupakan hasrat untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.
Cita-cita Pavithra menjadi guru manakala kakaknya berazam untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak mungkin tidak kesampaian apabila kedua ibu bapanya tidak mampu menampung kos persekolahan mereka.
Durga Devi berkata, walaupun berasa sedih kerana tidak dapat bersekolah seperti dahulu, namun dua beradik ini memahami kemiskinan yang dialami bapanya yang bekerja di sebuah kedai mencuci kereta dengan upah yang tidak menentu.
“Untuk mengubati perasaan rindu terhadap suasana di sekolah, saya dan adik tetap belajar bersama-sama pada sebelah pagi menggunakan buku latihan sekolah tahun lalu tanpa tunjuk ajar dari guru,” katanya.
Katanya, jika diberi peluang, mereka ingin bersekolah semula supaya dapat menggapai cita-cita, namun mereka tidak mahu memaksa ibu bapa kerana memahami pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung.
Ketika ditemui Sinar Harian semalam, dua beradik berkenaan bersama ibu bapa dan nenek mereka terpaksa tinggal di kaki lima sebuah kedai di Taman Sri Puteri, selepas diusir daripada rumah sewa sejak lima hari lalu.
Menurut ibunya, K Kaladevi, 36, berkata, mereka sekeluarga diusir dari rumah sewa yang dihuni sejak tiga bulan lepas kerana gagal menjelaskan bayaran sebanyak RM200 sebulan akibat masalah kewangan.
“Saya berasa sedih apabila terpaksa membawa anak-anak tinggal di kaki lima dan tidak dapat tidur lena kerana digigit nyamuk serta basah kuyup semasa hujan lebat pada waktu malam. Kami juga terpaksa menahan lapar kerana tiada makanan,” katanya.
Menurutnya, sejak tinggal di kaki lima berkenaan, mereka mengambil keputusan menumpang mandi di stesen minyak berhampiran. Namun mereka dihalang menggunakan tandas yang disediakan selepas diketahui pihak pengurusan stesen min yak itu.
“Saya bingung dengan dugaan yang dihadapi malah suami juga tidak dapat bekerja kerana khuatir dengan keselamatan kami sekeluarga. Dia berkemungkinan besar untuk dibuang kerja,” katanya.
Kaladevi mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP Cawangan Taman Nesa, S Kogilavani yang sudi menghulurkan bantuan termasuk memberi sumbangan makanan kepada keluarganya selepas beberapa hari menahan lapar.
Sementara itu, Kogilavani ketika ditemui berkata, beliau akan membenarkan keluarga Kaladevi untuk tinggal di pejabatnya buat sementara waktu sehingga mereka mendapat bantuan daripada pihak bertanggungjawab.
“Saya akan berusaha mendapatkan surat sokongan bagi mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kedua-dua anak mereka dapat kembali bersekolah semula,” katanya kepada Sinar Harian.
Pihaknya juga akan berusaha menghulurkan sumbangan kewangan untuk dijadikan modal kepada Kaladevi yang mempunyai kebolehan menghasilkan kraftangan secara kecil-kecilan sekaligus mampu menambah pendapatan dan mengubah nasibmereka sekeluarga.
Labels:
daif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment