Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
LANTAI rumah milik Nor Satirah Hassan merekah menyebabkan rumahnya sering dimasuki air laut di Kuala Sungai Baru, Kangar.
KANGAR - Belum pun sampai setahun, beberapa buah rumah penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar Kuala Sungai Baru di sini mengalami keretakan yang mengundang ketakutan di kalangan para penghuninya.
Rumah jenis teres yang siap dibina sejak Ogos tahun lalu itu diserahkan kepada penduduk miskin yang kebanyakannya nelayan berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.
Walaupun mereka menyedari rumah tiga bilik bersaiz enam meter lebar dan 12 meter panjang tersebut dibina secara percuma, namun para penduduk terbabit kecewa ekoran hasil kerja tempat tinggal mereka dibuat umpama melepas batuk di tangga.
Akibatnya, lebih lima keretakan dan rekahan yang terjadi terutama pada tiang dan dinding rumah PPRT berkenaan dapat dilihat dalam tinjauan Kosmo! di empat buah rumah penghuni berkenaan.
Seorang penduduk, Rosli Hassan, 46, memberitahu, keretakan mula dikesan di dalam dan luar rumah beliau selepas baru tiga bulan menduduki rumah tersebut pada bulan Ramadan tahun lalu.
"Mula-mula hanya nampak kecil, lama-lama makin panjang dan mendalam sehingga boleh di masukkan sebatang lidi penyapu untuk menunjukkan kesan keretakan yang semakin teruk," katanya.
Menurut Rosli, hampir 10 keretakan boleh dilihat di beberapa bahagian rumah terutama pada sambungan dinding dengan tiang rumah.
"Tiang rumah ini dibuat menggunakan tiang pasang siap, bukan dikorek seperti lazimnya, oleh itu keadaan tanah yang tidak kukuh menyebabkan berlaku pergerakan pada dinding."
Tambahnya, rumah PPRT tersebut dibina oleh Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
No comments:
Post a Comment