Tuesday, September 7, 2010

Selongkar sampah cari makanan

JOHOR BAHRU: Dua beradik wanita warga emas bukan saja terpaksa makan dedak jagung makanan ayam untuk berbuka puasa dan bersahur setiap hari, malah ada beberapa jiran tetangga tergamak memaki dan meludah jika terserempak dengan mereka yang dianggap pembawa sial.


SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.
SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.

Kesengsaraan dua beradik berusia 70 dan 73 tahun itu makin bertambah apabila anak seorang daripada mereka berusia 37 tahun menghidap sakit mental manakala badannya penuh kurap.

Tiga bersaudara itu menumpang di kediaman seorang saudara mereka di rumah pangsa Blok 73, Taman Ungku Tun Aminah di sini, namun mereka hanya boleh menggunakan ruang tamu dan dapur selain dilarang menyentuh mana-mana peralatan milik tuan rumah atau masuk mana-mana bilik.

Lantaran kedaifan, tiga bersaudara itu terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan harian sehingga ada jiran seagama yang melabelkan mereka sebagai ‘keluarga sampah’.

Bagaimanapun, dua warga emas itu, Fatimah Abdul Hamid, 72, dan adik perempuannya, Rahimah Abdul Hamid, 70, dan anak tunggal Fatimah, Robiah Ahmad, 37, nekad meneruskan hidup serba kekurangan itu walaupun masa depan mereka cukup kabur.

Rahimah berkata, dia mempunyai dua anak lelaki tetapi sejak kematian suami, kedua-dua anaknya bersikap lepas tangan dan enggan mengaku dirinya ibu kandung kerana menganggap kehadirannya boleh menimbulkan masalah dalam rumah tangga mereka.
Berikutan itu, dia yang mengalami masalah rabun teruk dan menghidap strok terpaksa menumpang kasih kakaknya, Fatimah yang sedia dibebani Robiah, seorang pesakit mental.

“Meskipun usia sudah lanjut, kakak bersama Robiah keluar rumah dua kali termasuk pada awal pagi dan petang dengan menolak kereta sorong bagi mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk dijadikan juadah.
“Saya cukup gembira jika mereka membawa pulang roti, makanan dalam tin mahupun mi yang dijumpai dalam timbunan sampah biarpun sesetengah barangan itu sudah luput tarikh.
“Kami juga akan menyimpan baki makanan yang tinggal termasuk untuk bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Rahimah berkata, sekiranya Fatimah dan Robiah menemui tin kosong, wayar serta besi terbuang, mereka juga akan mengutip dan menjualnya kepada peniaga barang kitar semula.

Rahimah berkata, pendapatan mingguan keluarga itu yang kurang RM10 juga akan dikumpul bagi membayar bil air dan elektrik kepada pemilik rumah hingga mengakibatkan mereka tidak mampu membeli pakaian selain hanya memakai baju lusuh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa jiran memandang jijik terhadap mereka sehingga tidak membenarkan mereka menghadiri sebarang majlis keramaian di situ.

“Kami dipandang hina selepas Robiah mengalami alahan kulit di seluruh badan dipercayai akibat jangkitan kuman kerana terpaksa menyelongkar sampah pada setiap pagi bersama ibunya.

“Kami juga diludah dan dimaki dengan perkataan kesat sehingga sakit telinga sekiranya membuka pintu depan rumah. Sebab itu kami terpaksa keluar masuk menggunakan pintu dapur,” katanya ketika melakukan kerja pengasingan barang kitar semula di belakang lorong rumah semalam.

Menurut Rahimah, berbanding keluarga lain yang sibuk melakukan persiapan raya, mereka bertiga hanya mampu menitiskan air mata.

“Sudah hampir lima tahun kami tidak membeli baju raya mahupun memasak makanan sedap ketika Aidilfitri sebaliknya seperti biasa hanya memakan dedak dan makanan basi.

“Rumah kami juga tidak dikunjungi tetamu. Pada hari raya selalunya kami hanya berkurung dalam rumah, mungkin sudah takdir hidup kami begini. Apapun, kami perlu hadapi dugaan Allah ini dengan hati tabah,” katanya yang turut berharap kedua-dua anaknya menziarahinya pada 1 Syawal nanti.

No comments:

Post a Comment