Tuesday, September 7, 2010

Parti bukan Islam 'ghairah' ke masjid, surau dipersoal


SHAH ALAM 6 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri ini mempersoalkan agenda parti bukan Melayu khususnya dari kalangan bukan Islam yang terlalu 'ghairah' mengadakan aktiviti dan program rakyat di kawasan masjid dan surau di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, meskipun program itu sesuatu yang positif tetapi keghairahan berkenaan sebenarnya boleh mencetuskan pelbagai polemik politik termasuk mengundang perpecahan di kalangan umat Islam.
Ini kerana, katanya, tindakan pemimpin parti politik tertentu yang 'keterlaluan' mahu menggunakan masjid dan surau untuk mengadakan program mereka seolah-olah menggunakan rumah ibadat sebagai jalan mudah menarik sokongan orang Melayu.
Beliau tidak menolak kemungkinan pendekatan 'politik masjid dan surau' itu menambahkan lagi perpecahan di kalangan orang Melayu apabila wujudnya perbezaan pendapat dan perbalahan ekoran tindakan ahli politik bukan Islam memasuki rumah ibadat berkenaan.
"Ada orang Melayu menyokong bukan Islam memasuki dewan solat atau mengadakan program politik di masjid dan surau. Ada juga orang Melayu yang membantah.
"Sedangkan semua pihak sudah maklum bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah melarang penggunaan masjid dan surau untuk berpolitik apatah lagi membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat serta menyalahgunakannya," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Abdullah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ahli politik bukan Islam yang menggunakan masjid dan surau itu mempunyai 'agenda tersembunyi' untuk menawan hati dan mendapat sokongan orang Melayu selain mengambil kesempatan untuk melemahkan perpaduan mereka.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana bertindak memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam keadaan yang tidak sopan pada 22 Ogos lalu sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Selain memasuki ruang solat, Nie Ching daripada DAP turut berucap kepada hadirin di ruang solat surau terbabit sehingga diberikan amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 27 Ogos lalu supaya menghormati agama dan institusi Islam di negeri ini serta tidak mengulanginya.

No comments:

Post a Comment