Sunday, October 17, 2010

Anak Sosilawati rasa sedih, tertekan



KUALA LUMPUR - Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, mempunyai kecekalan luar biasa dan beliau sangat tabah dalam melalui episod tragis yang menyaksikan ibunya menjadi mangsa pembunuhan kejam. 

Mesra dipanggil Rita, anak sulung kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, mempunyai aras ketahanan emosi yang cukup tinggi. Maka tidak hairanlah ketabahan beliau dikagumi. 

Rita ketika ditemui berkata, sekuat mana sekalipun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang mengerti penderitaan dan kesedihan yang dilalui beliau lima beradik. 

“Memang nampak saya tenang. Kalau ikutkan hati, saya memang sangat bersedih, tetapi saya tidak mahu layan kesedihan dan berendam air mata kerana saya tidak rela melihat adik lain turut menangis. 

“Kesedihan kami biarlah hanya keluarga yang tahu. Kami tidak mahu kelak dikatakan meminta simpati. Kami perlu kuat melalui masa mendatang dan teruskan kehidupan meskipun tanpa ibu di sisi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Baru, di sini. 

Bagi mengurangkan rasa sedih dan tertekan, Rita berkata, setiap hari beliau dan adiknya akan berlagak seperti biasa dengan menceriakan dan menggembirakan satu sama lain. 

“Walaupun bersedih, masing-masing cuba menggembirakan satu sama lain. Meskipun kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik, namun kami tidak akan lupa tanggungjawab kami masing-masing,” katanya. 

Anak-anak Allahyarham Sosilawati yang lain ialah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erni Erinawati Sofea, 21 tahun, Md Erwan Nasri, 23, Erni Reenilawati, 20, dan Siti Nur Fatimah, 13, hasil perkahwinan pertamanya dengan Buhari Mohamad. 

Rita, bagaimanapun, tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kecewa terhadap sikap keluarga kepada rakan-rakan sekolah Siti Nur Fatimah dan pihak sekolah antarabangsa, yang seperti kurang peka terhadap perasaan adik bongsunya itu. 

Katanya, pihak berkenaan seharusnya memahami situasi mereka sekeluarga, terutamanya perasaan Siti Nur Fatimah, yang tertekan apabila kejadian yang menimpa ibunya itu sering ditanya berulang-ulang kali saban hari. 

“Di sekolah, guru-guru dan rakan-rakan yang menerima pesanan daripada keluarga, kerap bertanya mengenai ibu kepada adik. Saya khuatir soalan itu akan membuatkan adik semakin tertekan dan mengganggu fikirannya. 

“Adik sering bersedih apabila pulang dari sekolah kerana sering ‘diingatkan’ mengenai kejadian yang menimpa ibu. Saya cuma mahu pihak berkenaan membaca akhbar jika mahu mengetahui perihal kes itu. Jangan tanya pada adik lagi,” katanya. 

Rita berkata, beliau tidak membenarkan adik bongsunya itu membaca surat khabar kerana dikhuatiri apa yang dipaparkan media akan terserap ke dalam ingatannya. 

Bagi mengelakkan Siti Nur Fatimah berasa tertekan akibat berita tidak tepat, mereka akan memberitahu sendiri fakta perkembangan kes berkenaan kepada adik bongsu mereka itu, hasil ‘update’ daripada pihak polis. 

“Saya kesal dengan paparan dan andaian yang dicetuskan pihak luar, termasuk media, kerana ia tidak datang daripada mulut saya atau pihak polis. Saya khuatir pengaruh akhbar akan membuatkan keluarga lebih tertekan dan orang di luar keliru,” katanya. 

Rita, lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom, yang kini mengambil alih segala tugas dan peranan arwah ibunya, berkata, perniagaan masih berjalan lancar, walaupun berita mengenai kematian pengasas produk kecantikan itu mendapat liputan luas seluruh negara. 

Beliau mengakui masih banyak perlu dipelajari untuk menerajui Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd kerana tanggungjawab dipikulnya sebagai pengarah syarikat terlalu berat dan memerlukan tumpuan penuh. 

“Ini peninggalan ibu, saya tidak mahu hampakannya. Giliran saya untuk meneruskan perjuangan dan legasi perniagaan ibu dan doakan saya agar perniagaan ini akan terus berjaya, maju dan bertahan sampai bila-bila,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar polis dapat menyegerakan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap sampel tulang yang ditemui di lokasi pembunuhan bagi mengetahui ia milik siapa. 

“Kita minta pihak polis siasat kes ini dengan lebih lanjut dan lebih mendalam berdasarkan bahan-bahan bukti yang ditemui. Saya percaya polis telah menjalankan tugas dengan baik, malah mereka turut ‘update’ pada kita tentang berita ter:kini. 

“Namun, kita masih berharap keputusan DNA akan dikeluarkan dengan cepat, kami masih tertanya-tanya apa yang berlaku. Kami mahukan kepastian,” katanya.: 

Rita berharap agar keadilan menyebelahi mereka dan keluarga tiga mangsa lain, dengan melihat pembunuh yang bertanggungjawab dihukum setimpal dan keadilan ditegakkan. 

Katanya, hidup mereka sekeluarga tidak tenang selagi pembunuh kejam itu tidak dihukum sekeras-kerasnya setimpal dengan perbuatan kejam mereka terhadap ibunya dan tiga lagi individu lain. 

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. 

Pada 12 September, polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. 

Rabu lalu, peguam N Pathmanabhan, 41, pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga individu lain. 

Kelmarin, dua lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini, atas tuduhan melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu keempat-empat mangsa berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment