Sunday, October 17, 2010
Gembira lihat zuriat yang amat berjaya
Dinasti demokrasi lazim dalam parti pemerintah, pembangkang dan di India serta negara lain
- TAN SRI ABDULLAH AHMAD
‘Musical Chairs’ adalah permainan yang disukai ramai di Barat dan Malaya zaman kolonial, iaitu merebut kerusi mengikut muzik; kini permainan ‘political musical chairs’ pula popular – memerintah mengikut zuriat atau puak.
Dalam Bahasa Melayu klasik perkataan putera dan puteri semata-mata digunakan bagi anak-anak raja. Kini putera dan puteri dipakai oleh siapa pun – bergelar atau tidak. Putera sulung Datuk Onn Jaafar, Hussein, jadi perdana menteri ketiga, putera sulung Tun Razak Hussein, Najib, PM keenam; di Singapura anak pertama Lee Kuan Yew, Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura ketiga, di India, anak tunggal Nehru, Indira, anak Indira Gandhi, Rajiv, jadi perdana menteri dan amat besar kemungkinan cucu Indira, Rahul, juga akan menjadi perdana menteri selepas Manmohan Singh, Perdana Menteri India yang akan melawat Kuala Lumpur akhir bulan. Khairy Jamaludin, menantu Badawi, juga ada harapan tinggal di Seri Perdana kalau nasibnya baik. Mungkin nasibnya bertukar baik andainya dia tambah Badawi pada namanya: Khairy Jamaludin Badawi – sedap bunyinya kan? Lebih menarik, lebih glamor lagi jika di stailkan berbunyi seperti ini – Khairy Jamaludin Badawi Al-Rembaui!
Contoh bersambung: Puteri Sukarno, Sukarnoputeri, jadi Presiden Indonesia, anak Bush Sr, George jadi Presiden Amerika Syarikat, anak Assad, Bashir, jadi Presiden Syria dan di Korea Utara dalam 65 tahun bapa, anak dan cucu – Kim II Sung, Kim Jung-Il, Kim Jong-Un jadi kepala negara bukan ‘ceremonial heads’ tetapi berkuasa penuh. Hishammuddin anak Hussein dan cucu Onn bakal menggantikan Najib kalau UMNO terus menang. Muhyiddin Yassin juga bakal tetapi sudah tua dan tiada ‘pedigree’ kecuali dia seperti Badawi jadi ‘accidental prime minister’. Sonia, menantu Indira ditawar menjadi perdana menteri. Dia cerdik dan menolak dan melantik Manmohan Singh. Sonia bukan Khairy, dia bijak membeza menantu dengan anak. Tetapi semua pemimpin dunia yang melawat New Delhi, kata Speaking, ‘worth his/her salt’ dibawa berjumpa Sonia selain dari presiden dan perdana menteri. Sebagai presiden Parti Kongres, parti pemerintah India, Sonia amat berpengaruh dan mempunyai status tertinggi ‘mengikut protokol atau tidak’. Anak bongsu Dr Mahathir, Mukhriz sekarang timbalan menteri.
Zuriat, dan koneksi samada sebagai anak, cucu, menantu atau duda kepada presiden atau perdana menteri penting. Zuriat yang kamil lagi baik. Akhir-akhir ini Kuala Lumpur dibanjiri oleh muzikal – Muzikal P Ramlee (saya menontonnya dan hebat), Muzikal Puteri Gunung Ledang I dan II (saya menonton yang kedua lebih hebat) dan beberapa muzikal lain yang kepada saya tidak kena pada tempatnya. Masa cuti di London, saya menonton komedi ‘Yes, Prime Minister’ di pentas, satu jenaka politik terkini. Sindiran pedas, lawak jenaka dan kiasan dituju kepada perdana menteri David Cameron, baru tiga bulan memegang jawatan sudah pun ada komedi dipentaskan dan penuh penonton sejak musim panas (summer). Tak payah tunggu negarawan mati atau bersara. Kalau ada sebab kuat dan kukuh untuk dipentaskan. Kalau ada manusia Melayu yang berani buat ‘Yes, Prime Minister’ di Malaysia, saya yakin dia tidak rugi mungkin untung tetapi kalau hanya untuk membodek perdana menteri tak payahlah; cerita ‘Yes, Prime Minister’ yang objektif: puji yang teruji dan yang baik, kritik yang tidak betul dan tidak adil, kecam tindakan dan kelakuan yang keterlaluan dan yang mengada-ngada. Saya percaya berduyun-duyun nanti penonton. Komedi itu harus mempunyai sindiran, ketuk, ketawa, kias, perli, ibarat, tegur dan mengusik. Karektor tidak perlu ramai: perdana menteri, isterinya, ketua setiausaha negara (KSN) dan ketua setiausaha sulit perdana menteri (KSS) dan beberapa lagi dalam kast pembantu. Kesemua tidak sampai satu dozen pun. Bajet mesti besar dan pilihlah aktor-aktor yang berbakat. Kalau saya dalam bidang pementasan teater saya akan buat pementasan ini.
Sandiwara politik kita bersambung. Sekarang Nurul Izzah Anwar pula mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, tidak salah mengikut amalan dan tradisi demokrasi, tetapi wajarkah pada saat ini? Tidak dinafikan Izzah muda, baru 30 tahun, lawa, berpendidikan, belum terjejas lagi imejnya, berakhlak dan berpotensi. Bisakah ibu presiden, anak timbalan (kalau menang) dan bapa defacto leader? Saya rasa Izzah tunggu lah dulu; benar trends di seluruh dunia mahu pemimpin muda, David Cameron awal 40an, timbalannya Clegg juga begitu, ketua pembangkang yakni bakal PM Ed Miliband baru 40 tahun. Biarlah ‘pendatang dari UMNO’, Zaid Ibrahim berlawan mati-matian dengan Azmin Ali, sungguhpun lebih muda dari Zaid, Azmin veteran PKR dan sudah teruji. Dalam politik jangan membiarkan perasaaan atau emosi merosakkan kewarasan membuat perhitungan.
Seperti ditegaskan oleh primadona Star, Joceline Tan, Star 14 Oktober, ‘dalam apa situasi yang berlaku dalam pilihanraya pucuk kepimpinan PKR tindakan Izzah akan dianggap sebagai nepotisme, lebih buruk lagi dari Badawi, Khairy, Lim Kit Siang dan Guan Eng dan dua sepupu Ngeh dan Nga. Izzah mesti melalui banyak rintangan sebelum dia dapat meyakini pengundi PKR untuk menjadi timbalan kepada ibunya’. Saya puji keazaman Izzah, kebebasan berfikir diluar lingkaran ibu dan bapa, tetapi seperti kata Speaking, ‘is it wise to do it now? – wajarkah sekarang?’. Izzah bagai sekuntum bunga yang masih wangi lagi janganlah kerana pertandingan ini keharumannya yakni kewangiannya tidak lagi seperti kayu gaharu.
Seorang penulis asing James Hookway (james.hookway@wsj.com) telah berkata ‘Mahathir, The Musical’, satu lagi dalil Broadway mempengaruhi pementasan muzikal seluruh dunia dan harus ditiru oleh sesiapa pun yang mampu mementasnya. ‘Mahathir, The Musical’ juga satu ikutan political musical seperti yang terdahulunya: 'Evita' (tentang politik zaman Peron suami dan isteri di Argentina), dan ‘Thatcher, The Musical’!. Kata Dr Mahathir apabila memberi persetujuannya untuk dipentas, ‘saya harap muzikal itu berdasar kepada fakta!’ Saya belum menontonnya dan tidak mungkin menontonnya kerana pementasan sudah selesai. Mengikut ceritanya, satu pementasan yang ‘so so’ sahaja. Kalaulah benar saya tidak akan berasa rugi tidak menontonnya. Saya akan menontonnya kalau ada ‘repeat performance’.
Jumaat malam saya telah menghadiri majlis makan malam atau jambori sempena 50 tahun wujudnya Parlimen Malaysia di PWTC. Ramai kawan-kawan lama dan baru berada di situ dan sempatlah bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin-pemimpin UMNO, Pas, PKR, DAP, bekas Semangat 46 dan pesara. Semua mengakui kemenangan di Galas bergantung kepada pengundi Cina dan orang Asli. Kalaulah begitu dan saya telah pun mengatakan begitu minggu lepas, saya cadang Pas meletak calonnya Cina atau orang Asli dan kalau ini berlaku Pas menembak dengan satu peluru dan mendapat dua matlamat!
Dr Mahathir Mohamad pula mengikut cakap-cakap orang terus mengecam Najib tentang konsep 1Malaysia yang amat mengelirukan itu. Tegasnya dalam blognya yang terkini; 1Malaysia telah menimbulkan konflik idea, perselisihan pemikiran yang tidak boleh diselesaikan lagi. Sudah menjadi ‘irreconcilable conflicts’ seperti konfliknya dengan Musa Hitam! Pada Cina dan India 1Malaysia bermakna tidak wujud lagi hak-hak istimewa orang Melayu yakni (pemansuhan Artikel 153?). Tafsiran orang Melayu pula 1Malaysia bermakna satu sistem persekolahan sahaja, iaitu sistem nasional yang sebenar, tulin dalam segala erti, makna dan bentuk dan perkongsian kekayaan negara seadil mungkin dan Artikel 153 kekal. Benar, seperti kata Dr Mahathir, ‘bagaimana 1Malaysia boleh diwujudkan dalam situasi begini?’
Mengikut NST 15 Oktober, usaha keras Najib, usaha gigihnya mendekati orang Cina sedang berjaya, ‘Chinese voters ready to swing Najib’s way – pengundi Cina sudah sedia untuk mengikut ayunan Najib’. Cara Najib berjinak dengan Cina menjadinya disayangi mereka. Kalaulah ini benar, seperti yang dikatakan oleh kolumnis NST, Zubaidah Abu Bakar, Najib bolehlah tidur dengan selena-lenanya. Saya juga boleh tidur nyenyak. Kata orang Kelantan jendera dan berdengkur!
Tetapi mengikut kolumnis primadona STAR, Tan, 13 Oktober, usaha memenangi pengundi Cina sukar seperti mendaki gunung Everest yang ‘tricky’ itu. Bezanya NST optimis, STAR realis.
‘Yes, Prime Minister’, ‘Yes, Datuk Seri Najib’. Semuanya nampak beres: bajet yang memakmurkan, Cina sedia menari bersama, ekonomi meningkat maka bolehlah kita menanti dan menikmati satu zaman yang cerah, satu masa bahagia, satu periode aman sentosa!
Pembetulan: Walaupun blurp pada hari Sabtu, 16 Oktober 2010, asalnya ‘musical chairs’, repeat ‘musical chairs’, mereka yang lebih bistari telah menukarnya kepada ‘musical chair’. Mana bisa dong? Kalau main ‘musical chairs’, kerusi mesti lebih dari satu! Kalau lebih dari satu, mestilah ‘chairs’ bukan ‘chair’. Kolumnis mohon maaf kepada pembaca.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment