BN Perlu beritahu jasa dan budi yang dilakukan - Najib
KUALA LUMPUR -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) memberitahu rakyat akan jasa dan budi yang dilakukan parti pemerintah itu selama ini untuk mensejahterakan kehidupan mereka.
Perdana Menteri berkata kerajaan BN tidak banyak mengembar gemburkan apa yang dilakukan untuk rakyat berbanding parti pembangkang, walaupun mereka hanya membuat sedikit sahaja untuk rakyat.
"Kita buat banyak tapi tak riuh rendah. Mereka buat sedikit tapi riuh sekampung. Kita buat bangunan tak gembar gembur...kita buat setinggi gunung...(tapi kadang kadang) orang tak hargai," katanya berucap melancarkan Karnival Skuad Sayang Wanita Umno di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Najib berkata walaupun kerajaan memberikan pengecualian pembayaran bil eletrik bagi pengguna yang bil eletriknya berjumlah RM20 ke bawah kepada lebih kurang sejuta isi rumah di seluruh negara, tetapi tidak mengembar gemburkannya seperti sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu ke bawah.
Najib berkata dalam sistem demokrasi berparlimen, hati nurani rakyat jelata harus sentiasa dijaga kerana merekalah yang mendokong kejayaan sesebuah parti apabila sampai masanya.
"Sebab itu dalam Bajet 2011 saya telah cuba memasukkan kepentingan semua pihak untuk mensejahterakan rakyat," katanya.
Menurut Perdana Menteri pelbagai insentif disediakan demi kepentingan rakyat dalam bajet ini, antaranya Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah di mana skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.
Katanya dalam Bajet ini, buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.
'Jadi usaha untuk mensejahterakan rakyat akan kita teruskan," tambah beliau.
Najib juga meminta Wanita Umno dan BN agar terus mengadakan program-program seumpama ini untuk kepentingan rakyat di kawasan-kawasan "mencabar" seperti Ampang di sini yang kini dipegang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Tak kira kita dikutuk...tak kira...asal atas nama perjuangan kita tidak akan undur. Kalau nak tebus kekalahan di Ampang kena jaga rakyat Ampang," kata beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor.
Perdana Menteri juga berkata beliau akan mempertimbangkan beberapa permintaan Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang dalam ucapan di majlis itu meminta jasa baik Najib untuk memberikan peruntukan menukar bumbung asbestos di rumah-rumah pangsa kawasan perumahan itu, selain kemudahan tempat permainan.
Najib berkata Wanita Umno memang merupakan tulang belakang parti dan mereka cukup rajin dan kuat bekerja."Dan Skuad Sayang ini saya lihat lebih menerlah kegiatannya di peringkat akar umbi," katanya.
Skuad Sayang yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas merupakan program kesukarelaan dan kebajikan Wanita Umno serta juga Wanita BN bagi menepati hasrat mendampingi rakyat di peringkat akar umbi. -- BERNAMAsumber
No comments:
Post a Comment