Tuesday, October 5, 2010

Azizan ugut mahu dedah nama





ALOR SETAR 4 Okt. - Isu kenaikan tarif air di negeri ini makin panas apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) pula mengugut akan mendedahkan nama-nama pihak yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian sehingga berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air.
Perkara itu disuarakan Azizan setelah beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam yang menyifatkannya memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sehingga 27 peratus.
Azizan berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak perlu menuding jari kepada beliau kerana hutang piutang yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri sekarang disebabkan oleh parti itu.
"Jangan tuding jari pada saya sebab hutang BN yang buat, lepas itu suruh saya bayar.
"Kalau pemimpin BN bising lagi saya akan beritahu saham mereka yang terlibat dalam syarikat yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung hutang rawatan air," katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din mengumumkan tarif air di Kedah akan dinaikkan 27 peratus mulai Jumaat lalu bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.
Kata Adzmi, tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1993 dan sepanjang 17 tahun itu semakan semula tarif air di Kedah tidak pernah dibuat.
Kenaikan tarif air ini mendapat bantahan banyak pihak kerana kenaikan itu dianggap membebankan rakyat Negeri Kedah.
Azizan mendakwa, kerajaan negeri kini terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana penswastaan air di Langkawi yang dibuat oleh kerajaan BN terdahulu.
"Syarikat Taliworks Sdn. Bhd. adalah syarikat yang mendapat kontrak merawat air di Langkawi namun kerajaan negeri terpaksa menanggung hutang yang besar akibat penswastaan ini.
"Untuk 2009, kerajaan terpaksa membayar RM39 juta kepada Taliworks sedangkan kutipan hanya RM14 juta dan ini bermakna kerajaan terpaksa tambah lagi RM25 juta kepada mereka," katanya.
Azizan berkata, beliau tidak tahu perjanjian apakah yang dibuat oleh pimpinan terdahulu dengan Taliworks yang menyaksikan hanya satu pihak yang mendapat keuntungan.
"Kontrak Taliworks dengan kerajaan negeri hanya akan tamat pada 2020 dan kita kini sedang berbincang dengan syarikat tersebut bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat keuntungan bersama.
"Jadi kepada pemimpin terdahulu jangan tegur saya kerana saya ada bukti siapa yang terlibat dalam syarikat ini dan hanya tunggu masa untuk dedahkannya," katanya.

No comments:

Post a Comment