KOTA BHARU 4 Okt. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu berusia 42 tahun dan anak gadisnya yang pekak dan bisu apabila mereka turut menghidap penyakit 'tulang reput'.
Kecacatan tersebut menyebabkan Rozana Muhamad, 42, dan anaknya, Norasiah Mashim, 19, dari Kampung Wakaf Che Yeh di sini terpaksa menjalani kehidupan seharian yang sukar seperti berulang-alik ke tandas dan bilik air.
Lebih malang lagi apabila suaminya, Mashim Muhamad, 41, turut mengalami cacat pendengaran dan bisu.
Penyakit yang dialami oleh Rozana dan Norasiah menyebabkan pertumbuhan badan mereka terbantut sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan seharian.
Malah, mereka juga menghadapi kesukaran untuk ke bilik air yang terletak di bahagian bawah rumah sehingga terpaksa berpaut pada tali yang disediakan.
Menurut anak sulung keluarga itu, Siti Rokiah, 22, dia amat mengharapkan agar ada pihak tampil membantu keluarganya membina bilik air yang lebih sesuai untuk ibu dan adiknya itu yang kerap terjatuh semasa hendak ke tandas.
Katanya, dia yang mencari rezeki dengan menjual burger di kawasan berhampiran, bimbang sekiranya ibu dan adiknya itu cedera akibat selalu jatuh berikutan penyakit yang dialami mereka.
"Saya berharap, ada pihak yang dapat membantu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada ibu dan adik perempuan saya," katanya di sini semalam.
Dia ditemui semasa menerima kunjungan Persatuan Harapan Wanita dan Armalah Kota Bharu diketuai oleh Pengerusinya, Hamizah Majid untuk menyampaikan sumbangan hamper makanan termasuk beras.
Menurut Siti Rokiah, selain Norasiah, dia mempunyai dua lagi adik iaitu Siti Rohani, 12 dan Siti Aishah, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kota manakala ayahnya bekerja di Pusat Pemulihan Orang Cacat.
Katanya, kedua-dua ibu bapanya itu mendapat bantuan bulanan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang digunakan bagi menampung perbelanjaan seharian termasuk persekolahan adik-adiknya.
Jelasnya, dia yang sudah berkahwin tidak mampu menyediakan wang secukupnya bagi membina bilik air yang lebih sesuai untuk kegunaan ibu dan adiknya itu.
"Kami tidak dapat berjimat untuk perbelanjaan membaiki bilik mandi dan tandas kerana wang dan bantuan yang diperoleh hanya mencukupi untuk menampung keperluan seharian," katanya.
No comments:
Post a Comment