INDONESIA yang mempunyai lebih 230 juta penduduk adalah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding mana-mana negara di Asia Barat, tempat Islam mula bertapak.
Meskipun majoriti penduduknya beragama Islam, Indonesia secara amnya dilihat oleh masyarakat antarabangsa bahawa penganut agama lain boleh tinggal dengan aman bersama jiran Islam mereka.
Ramai pemerhati mengakui hakikat ini apabila mereka merumuskan Indonesia adalah negara mengamalkan toleransi.
Namun, sejak 10 tahun kebelakangan, khususnya sejak era reformasi, tanggapan bahawa Indonesia sebuah negara bertoleransi agak melencong dengan kemunculan semula kumpulan pelampau Islam.
Pelbagai kejadian ganas membantu mewajarkan pandangan yang Indonesia menjadi kubu kuat fahaman pelampau Islam.
Beberapa siri serangan bom yang berlaku hampir setiap tahun dari 2000 hingga 2005 memberi isyarat Indonesia sudah berubah.
Serangan paling buruk berlaku di Bali pada 12 Oktober 2002, menyebabkan lebih 200 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong Australia.
Selepas serangan bom kedua di Bali pada 2005, ia kelihatan seolah-olah Indonesia sudah dapat menyelesaikan isu pelampau Islam.
No comments:
Post a Comment