Tuesday, October 5, 2010

Syor kaji semula hukuman kesalahan berkaitan agama





2010/10/05

Hina anutan orang lain boleh cetus kemarahan, permusuhan kaum

MENGHORMATI agama bukan saja faktor yang menyumbang kepada ketenteraman awam atau kesejahteraan masyarakat. Ia bertujuan menghormati agama itu sendiri. Atas prinsip menghormati agama, undang-undang jenayah mengenai kesalahan berkaitan agama diperkenalkan. Undang-undang itu lahir atas dasar menjaga, menjamin dan menghormati kedudukan agama serta memberi penghormatan kepada penganutnya. 

Dalam sejarah undang-undang di England, kesalahan berkaitan agama diperkenalkan oleh common law dan ditadbir oleh Ecclesiastical Court yang juga dikenali sebagai Spiritual Court. Pada 1697, Akta Kesalahan Menghina Agama (Blasphemy Act) diperkenalkan. Akta itu antara lain menjenayahkan perbuatan menghina agama.
Agak malang bagi penganut agama lain, termasuk agama Islam, kerana undang-undang England itu hanya menjaga dan menjamin kedudukan agama Kristian. Kedudukan agama lain diabaikan. Prinsip ini dapat dilihat dengan jelas di dalam keputusan berkaitan terbitan The Satanic Verses tulisan kontroversi Salman Rushdie (yang lebih dikenali sebagai kes ex-parte Choudhury).
Atas dasar diskriminasi dan ketidaktentuan di dalam pemakaiannya, undang-undang ini mendapat kritikan hebat. Pelbagai gerakan dan desakan dilakukan ketika proses ‘pembaharuan’ yang membawa ideologi pemisahan antara agama dan pentadbiran, ke atas undang-undang menghina agama. Seterusnya, terkesan daripada itu, Blasphemy Act itu dimansuhkan pada 1966. 

Walaupun undang-undang bertulis mengenai kesalahan menghina agama dimansuhkan di England, ia masih kekal menurut common law. Pemakaian undang-undang berkaitan amat terhad dan pendakwaan terakhir yang berlaku ialah sekitar 1970-an. 

Setakat ini, ada banyak usaha ke arah memadamkan undang-undang tidak bertulis ini atas beberapa alasan utama seperti diskriminasi dan ketidaktentuan dalam pemakaiannya seperti yang disebut di atas. Usaha terakhir ialah pada 2001, menerusi ‘Religious Offences Bill’ 2001. Namun, usaha itu masih belum mencapai matlamat untuk menghapuskan undang-undang menghina agama Kristian di England. 

Apa yang ingin saya sampaikan ialah, walaupun kita amat menyedari bahawa perbuatan menghina agama adalah satu perbuatan yang boleh mencetus kemarahan dan permusuhan kaum, namun hakikatnya, itu bukanlah satu-satunya matlamat. Agama itu sendiri perlu dihormati – walau apa agama sekalipun – lebih-lebih lagi agama bagi negara. Dalam kata lain, perbuatan menghina agama tidak sepatutnya hanya disandarkan kepada alasan menjaga ketenteraman atau kesejahteraan awam. 
Semua masyarakat beragama harus menghormati kedudukan agama. Apa lagi kedudukan agama yang menjadi pegangan majoriti ahlinya. Seperti kedudukan undang-undang di England, walaupun dikatakan ada pemisahan antara agama dan pentadbiran negara, agama Kristian sentiasa dijamin kedudukannya oleh undang-undang berkaitan penghinaan terhadap agama. 

Pihak istana dan kerajaan masih enggan menghapuskan undang-undang yang menjamin kedudukan agama Kristian daripada celaan dan hinaan. Ini menunjukkan bahawa walau dalam keadaan apa sekalipun, agama Kristian masih mempunyai tempat yang selesa di England (sekurang-kurangnya dalam konteks undang-undang berkaitan menghina agama). 

Masyarakat Malaysia, yang secara umumnya adalah masyarakat beragama, seharusnya sentiasa sedar bahawa menjaga kedudukan agama bukan saja bagi tujuan mengelak daripada berlakunya ketegangan antara kaum dan agama. Ia harus juga bagi tujuan menjaga kedudukan agama itu sendiri. 

Peruntukan di dalam Seksyen 295 hingga 298A Kanun Keseksaan menjadi undang-undang khusus bagi menangani kesalahan berkaitan agama. Pada asalnya peruntukan ini adalah, seperti juga tujuan asal blasphemy law di England, untuk menjaga dan menjamin kedudukan agama, iaitu agama bagi negara itu. Namun daripada persoalan teknikal undang-undang, ia harus diterima pakai dalam konteks negara yang mengamalkan undang-undang berkenaan. 

Hukuman yang disediakan oleh peruntukan berkaitan agak rendah. Dengan perkembangan semasa, adalah baik bagi kerajaan untuk menilai semula jumlah dan jenis hukuman mengenai kesalahan berkaitan agama. Ini kerana undang-undang ini menjadi antara pemangkin kepada jaminan terhadap kedudukan agama di negara ini. 

Undang-undang ini juga melambangkan hak kebebasan beragama. Tidak ada sesiapa pun yang dibolehkan oleh undang-undang untuk menghina agama seseorang yang lain. Selain itu, hak kebebasan beragama juga merangkumi hak untuk tidak diguris perasaan sensitiviti terhadap agama yang dianuti. 

Walaupun sudah menjadi sebahagian daripada Kanun Keseksaan sejak sebelum merdeka lagi, pemakaian peruntukan di bawah Seksyen 295 hingga 298A di negara ini tidak begitu ketara. Berdasarkan laporan kes, ia masih belum mencukupi bilangan jari sebelah tangan. 

Sebagai akademik yang tidak terbabit secara langsung di dalam proses penyiasatan dan pendakwaan, saya tidak mengetahui apa sebenarnya masalah dan halangan dalam penyiasatan dan pendakwaan di bawah peruntukan ini. Mungkin masyarakat umum juga tertanya-tanya apa sebenarnya kedudukan undang-undang mengenai isu ini, seperti isu video yang dikaitkan dengan seorang paderi Kristian. 

Bagi masyarakat Islam di negara ini mereka mempunyai satu set undang-undang lain berkaitan kesalahan menghina agama Islam di dalam enakmen negeri. Undang-undang ini didasari prinsip menghormati agama seperti diiktiraf oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah serta amalan sahabat. 

Kesalahan ini diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini menjadikan jaminan kedudukan agama Islam, secara teorinya, agak kuat. Walau apa pun, seperti yang dimaklumi ramai, undang-undang Islam di Malaysia ini secara amalannya hanya terpakai ke atas orang Islam. Sebarang penyiasatan dan pendakwaan ke atas orang bukan Islam bukan di bawah bidang kuasa pegawai penguat kuasa agama, dan bukan juga di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment