Tuesday, October 5, 2010

Saya tahu AC Mizal miliki kekayaan - Shafnie



KAJANG 4 Okt. - Bekas isteri pengacara dan pelakon AC Mizal, Shafnie memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa dia mengetahui kekayaan sebenar artis tersebut bersumberkan media massa.
Menurut Shafnie Zainuddin, 34, bekas suaminya mempamerkan kekayaan yang dimilikinya termasuk beberapa buah kereta dan rumah mewah serta syarikat selain menjadi duta produk.
Dia memberitahu demikian ketika disoal balas oleh peguam syarie, Siti Aisyah Din yang mewakili AC Mizal dalam perbicaraan tuntutan untuk mengubah nafkah anak yang dikemukakannya di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah.
Ketika ditanya oleh Siti Aisyah, adakah dia bersetuju sekiranya aset tersebut bukannya kepunyaan pengacara tersebut sebaliknya milik orang lain, Shafnie dalam nada emosi menjawab:
''Saya tidak pasti, tetapi hanya orang kaya sahaja yang memiliki beberapa kereta mewah, rumah mewah dan perniagaan."
Siti Aisyah kemudiannya meminta Shafnie mengemukakan saksi bagi menyokong keterangannya mengenai kekayaan bekas suaminya itu.
Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun menyatakan, dia tidak dapat berbuat demikian.
AC Mizal turut hadir ke mahkamah dengan ditemani oleh seorang rakannya.
Dalam permohonan tersebut, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin menuntut agar jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan.
Ia merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).
Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).
Shafnie dan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum disahkan bercerai pada 17 Oktober 2001.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 12 Oktober ini.
Selain kes itu, mereka mempunyai satu lagi kes yang melibatkan isu tunggakan nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM50,000 di mahkamah yang sama.
Nasib bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) tersebut akan ditentukan pada 28 Oktober ini, sama ada dia wajar dihantar ke penjara bagi kesalahan tersebut.

No comments:

Post a Comment