Tuesday, October 5, 2010

Geert Wilders didakwa cetus kebencian



AMSTERDAM 4 Okt. - Ahli Parlimen anti-Islam Belanda, Geert Wilders yang dijadual menjadi rakan tidak rasmi dalam kerajaan baru negara ini, dibicarakan hari ini atas tuduhan mencetuskan kebencian terhadap orang Islam.
Ahli politik kontroversi berambut perang itu boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau didenda sebanyak 7,600 euro (RM30,000) kerana menggambarkan Islam sebagai 'fasis' dan menyamakan al-Quran dengan buku Mein Kampf karangan Adolf Hitler.
Perbicaran bermula pada pukul 9 pagi (3 petang waktu Malaysia) di hadapan ketua hakim Jan Moors dengan Wilders duduk di barisan hadapan di sisi peguamnya, Bram Moszkovicz.
Wilders, 47, didakwa atas lima tuduhan menyinggung perasaan orang Islam dan menghasut kebencian dan diskriminasi terhadap orang Islam dan penduduk berketurunan pendatang bukan Barat, terutamanya dari Maghribi.
Ahli Parlimen itu dalam keterangannya berkata, beliau hanya mahu mempertahankan kebebasan bersuara setiap rakyat Belanda.
Pendakwa raya berkata, Wilders menggambarkan Islam sebagai 'ideologi sakit Allah dan Muhammad' dalam kenyataan yang dibuatnya antara Oktober 2006 hingga Mac 2008.
Antara bahan bukti yang ditunjukkan di mahkamah ialah filem 17 minit yang dihasilkan oleh Wilders, 'Fitna', yang didakwa menggambarkan Islam sebagai kuasa yang mahu memusnahkan Barat.
Penayangan Fitna di Belanda pada 2008 mencetuskan protes di dunia Islam. - AFP

No comments:

Post a Comment