Projek rumah rakyat RM180 juta
GUA MUSANG 24 Okt. - Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membina 1,500 unit rumah bernilai RM180 juta di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang pertama di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek tersebut dilaksanakan kerana Barisan Nasional (BN) komited dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat tanpa mengira di mana mereka berada.
Bagaimanapun beliau menegaskan, pelaksanaan projek itu telah dirancang lebih awal selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memaklumkan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan ini dan ia bukan bertujuan memancing undi ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
"Rakyat yang susah juga ada keinginan untuk memiliki rumah yang selesa, maka untuk itu atas pertimbangan dan kebijaksanaan pimpinan kerajaan BN, maka ia dilaksanakan hari ini.
"Kalau hendak tunggu kerajaan negeri Kelantan ini laksanakan, sama seperti menunggu 'bulan jatuh ke riba,' saya fikir sampai bila pun tidak sampai di Kelantan.
"Di kebanyakan negeri (lain) pun, projek perumahan bukan saja dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat tetapi juga oleh kerajaan negeri yang mampu," katanya ketika berucap melancarkan PPR Gua Musang di Mukim Bandar di sini hari ini.
Projek perumahan tersebut dibina di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) seluas 13.8 hektar.
Ia merangkumi pembinaan 1,500 unit rumah yang terdiri daripada 18 blok rumah pangsa lima tingkat dengan pembinaan akan bermula pada awal tahun depan serta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Muhyiddin berkata, PPR Gua Musang agak istimewa kerana pembahagian rumah tersebut dibuat secara saksama iaitu 50 peratus bumiputera dan 50 peratus bukan bumiputera.
"Kerajaan BN mengambil kira semua aspek, kita prihatin dan mendengar masalah rakyat selaras dengan gagasan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
"Dalam hal ini kita dahulukan rakyat miskin dan kita bantu mereka, apa yang pasti, komitmen dan jaminan kerajaan BN untuk membela nasib rakyat tidak kira di mana (mereka berada), hatta di Pagoh atau Gua Musang ini.
"Usaha BN mengambil kira semua kaum, saya telah diberi maklum oleh Tengku Razaleigh bahawa mereka yang memerlukan rumah seperti ini adalah daripada (golongan) bumiputera dan bukan bumiputera," katanya.
Katanya, projek tersebut juga memberikan faedah kepada lebih 10,000 penduduk di kawasan itu dan kerajaan telah memberikan subsidi hampir 70 peratus kepada orang ramai untuk membelinya.
"Setiap unit ini bernilai di antara RM85,000 sehingga RM125,000, satu nilai yang cukup besar tetapi untuk memastikan setiap penduduk mampu membeli rumah, maka kita memberikan subsidi di mana setiap rumah akan dijual tidak melebihi RM35,000.
"Jika kerajaan tidak prihatin mereka perlu membayar harga kos sebenar RM125,000, kerajaan fikir mereka tidak berkemampuan dengan kadar yang cukup besar, jadi diberikan subsidi untuk jualan dan sewa bulanan sebanyak RM125," katanya.
Tambahnya, kerajaan BN bukan sahaja memberi tumpuan kepada masalah perumahan tetapi juga dalam semua aspek termasuk peluang ekonomi bagi memastikan tidak ada pengangguran.
"Kerajaan telah mengeluarkan peruntukan berbilion ringgit untuk membantu rakyat, jadi saya kira adalah tidak keterlaluan untuk menyeru pengundi di Galas khususnya, dan Gua Musang amnya untuk menyokong calon yang kita letakkan nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment