- AMINUDIN MANSOR Hak mengundi dalam satu-satu pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil sangat penting. Jika seseorang itu tidak mendaftarkan dirinya sebagai pengundi atau pemilih, dia tidak berhak untuk mengundi dalam pilihan raya. Bagaimanapun, pada masa kini fenomena remaja atau warganegara yang cukup umur 21 tahun liat untuk mendaftar sebagai pengundi. Apa yang dikesalkan kebanyakan mereka adalah kalangan Bumiputera, khususnya orang Melayu. Hal ini telah disuarakan banyak pihak, dan dikatakan negara akan mengalami kerugian apabila kira-kira 5 juta rakyat dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berikutan kedegilan warganegara berusia 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih. Perkara ini pernah disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan sehingga 30 Mei lalu terdapat 4.3 juta rakyat yang sudah cukup umur belum mendaftar. Menurutnya, jumlah itu akan terus meningkat kerana pertambahan warganegara yang mencapai umur 21 tahun adalah kira-kira 450,000 setahun, manakala jumlah mendaftar mengikut tahunan adalah kira-kira 250,000 sahaja. Katanya, dengan jumlah baki tidak mendaftar dan tertunggak kira-kira 200,000, maka jumlah rakyat tidak mendaftar terus meningkat kira-kira 200,000 setiap tahun. “Jika pertambahan ini konsisten, menjelang PRU ke-13 akan datang jumlah rakyat tidak dapat mengundi dijangka meningkat kepada hampir 5 juta. “Ini satu fenomena yang serius dan merugikan negara kerana kira-kira 30 peratus jumlah rakyat yang layak tidak dapat menggunakan hak selaku pengundi dalam proses demokrasi menentukan masa depan negara,” katanya. Beberapa kajian dan langkah drastik perlu dilakukan bagi menggalakkan kalangan remaja atau generasi muda mendaftar sebagai pengundi. Antaranya melalui pendekatan urusan pendaftaran di tempat strategik seperti di pasar raya, pasar tani, pasar malam dan sebagainya. Tumpuan juga boleh dilakukan di pusat pengajian tinggi kerana kalangan remaja yang berusia 21 tahun adalah kebanyakannya penuntut. SPR dikatakan sehingga kini telah melantik 2,373 penolong pendaftar pemilih (PPP) daripada kalangan wakil parti politik untuk membuat pendaftaran pemilih. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus berusaha menarik remaja mendaftar sebagai pemilih. Justeru, ibu bapa dan juga orang ramai boleh mengingatkan anak-anak tentang kepentingan mengundi dan mendaftar sebagai pemilih. Orang ramai dan pemimpin masyarakat juga boleh menggalakkan anak-anak mendaftar di kaunter pendaftaran seperti di pejabat Pos. SPR telah melantik 699 pejabat pos (berkomputer) di seluruh negara untuk menerima permohonan pendaftaran pemilih. * Penulis ialah penyair, pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi. |
Monday, October 25, 2010
Lima juta abai hak mengundi
Labels:
abai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment