Monday, October 25, 2010

Elia Suhana hilang hak lawatan





KOTA BHARU 24 Okt. - Isteri kedua Sultan Ismail Petra, Elia Suhana Ahmad (gambar) hilang hak melawat suaminya selepas Mahkamah Tinggi Syariah menerima permohonan bantahan awal Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Hamid di sini, hari ini.
Hakim Mohammed Yusoff Awang bersetuju dengan permohonan isteri pertama bekas Sultan Kelantan itu berhubung perintah hak lawatan yang diperoleh secara ex-parte oleh Elia Suhana pada 4 Februari lalu.
Tengku Anis diwakili oleh peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.
Mahkamah memutuskan Elia Suhana kehilangan hak itu kerana penyampaian atau perintah hak lawatannya ke Singapura tidak sah memandangkan mahkamah di sini tidak mempunyai bidang kuasa melangkau sempadan dua negara.
"Mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk penyampaian (melaksanakan perintah) di luar Kelantan tetapi masih dalam Malaysia," katanya.
Katanya lagi, mahkamah turut menerima permohonan Tengku Anis untuk mengetepikan perintah lawatan yang diperoleh secara ex-parte oleh Elia Suhana sebelum ini tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Sehubungan itu, permohonan Tengku Anis untuk membatalkan notis tunjuk sebab kerana mengingkari perintah yang membenarkan isteri kedua Sultan Ismail Petra melaksanakan perintah ex-parte oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 4 Februari, diterima.
Selain Raja Perempuan, dua lagi responden yang dinamakan ialah Mohd. Shahrizan Zainal Abidin iaitu pengawal peribadi responden pertama dan Zaiton Hussein Merican, pekerja di Istana Kelantan.
Ketiga-tiga mereka dikehendaki hadir pada masa dan tarikh yang disebutkan untuk menunjukkan sebab mengapa mereka tidak patut dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000 kerana melakukan kesalahan menghina mahkamah dengan mungkir atau gagal mematuhi perintah ex-parte Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 4 Februari lalu.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Tengku Anis menggantung prosiding kes sehingga keputusan kes cerai talak tiga di antara Elia Suhana dan Sultan Ismail Petra yang difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu diputuskan oleh mahkamah.
Dalam hal berkaitan, Elia Suhana dibenarkan memohon untuk meminda samannya bagi mengeluarkan fakta-fakta di Singapura memandangkan Tengku Anis telah keluar dari Singapura dan menetap kembali di Kelantan.
Sebelum ini, pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah membenarkan Elia Suhana bertemu dengan suaminya secara rasmi untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Elia Suhana dibenarkan melawat suaminya bermula dari pukul 7 pagi setiap hari Sabtu sehingga pukul 7 pagi hari Isnin.
Bagaimanapun pada 9 Mac lalu, seorang wanita, Nik Rorhana telah memfailkan permohonan lafaz cerai talak tiga baginda terhadap Elia Suhana yang dinikahi pada penghujung 2007.
Lafaz cerai itu dikatakan dibuat baginda ketika masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa orang saksi.
Sehubungan itu, pada 4 April lalu mahkamah memerintahkan agar perintah yang membenarkan Elia Suhana bertemu baginda ditangguhkan sehingga keputusan lafaz cerai itu dibuat.
Namun Mahkamah Tinggi Rayuan pada 20 Mei di sini membenarkan agar perintah tersebut berjalan seperti biasa walaupun ia telah ditangguhkan sebelum ini.
Sementara itu, Elia Suhana akan memfailkan rayuan ke atas keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah hari ini.
Peguam yang mewakilinya Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment