Monday, October 25, 2010

Penghuni bawah jambatan dapat rumah baru



Keadaan rumah bawah jambatan yang didiami Hazmain sekeluarga yang turut berjiran dua lelaki di susur Lebuh Raya Metramac ke Lebuh Raya Maju Expressway dekat Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Setelah empat bulan hidup dalam keadaan daif di bawah jambatan di susur Lebuh Raya Metramac ke Lebuh Raya Maju Expressway dekat Sungai Besi di sini, sepasang suami isteri boleh menarik nafas lega apabila mereka akhirnya dapat berpindah ke sebuah pangsapuri sebagai kediaman baru.
Masa depan pasangan Hazmain Abdul Jalil, 28, dan isterinya, Siti Faiza Abu Bakar, 27, serta anak sulung mereka berusia setahun iaitu Siti Norafida menjadi cerah setelah nasib malang mereka mendapat simpati daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
Ahli perniagaan yang enggan dikenali itu bersetuju mewakafkan sebuah pangsapuri miliknya di Kajang Utama dekat sini untuk didiami tiga beranak terbabit setelah membaca kisah kehidupan daif mereka melalui akhbar hari ini.
Turut dibawa tinggal di pangsapuri bersama tiga beranak tersebut ialah dua lelaki pengutip barang lusuh iaitu Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 30, dan rakannya, Tan Chee Wah, 33.
Kedua-dua mereka banyak membantu keluarga terbabit semasa sama-sama menumpang berteduh di bawah jambatan di situ.
Media hari ini menyiarkan kisah seorang pencuci bangunan, Hazmain berasal dari Sabah dan isterinya, Siti Faiza dari Johor bersama anak sulung mereka terpaksa tinggal di bawah jambatan setelah tidak mampu menyewa rumah sejak empat bulan lalu.
Episod duka kehidupan di bawah jambatan yang terdedah kepada cuaca panas, hujan dan nyamuk itu bermula selepas mereka tidak dibenarkan tinggal di kawasan setinggan di Sungai Besi.
Sementara itu, Mohd. Hafiz berasal dari Sepang, Selangor dan Chee Wah dari Serdang pula tiada tempat berteduh selepas disisih keluarga yang tidak boleh menerima hakikat mereka bekas penagih dan penjenayah.
Penderitaan kesemua penghuni bawah jambatan tersebut berakhir apabila dikunjungi oleh rombongan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO diketuai Pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh hari ini.
Menurut Muhd. Khairun, pihaknya yang bersimpati dengan penderitaan tiga beranak dan dua lelaki yang menghuni bawah jambatan tersebut berusaha mencari jalan untuk membantu mereka.
Beliau berkata, pihaknya bersyukur apabila tampil seorang ahli perniagaan yang prihatin telah bermurah hati menghulurkan bantuan dan mewakafkan pangsapuri miliknya untuk didiami.
"Ada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang enggan dikenali bersetuju menyerahkan pangsapurinya di Kajang Utama untuk dijadikan kediaman bagi keluarga ini dan dua lelaki berjiran dengan mereka.
"Bagaimanapun buat sementara, kita akan tempatkan mereka di Wisma Belia di sini kerana menunggu pangsapuri di Kajang Utama dibersih dan diubah suai," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat keluarga terbabit di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pemuda UMNO Sabah, Mohd. Gasing Saling.
Menurut Muhd. Khairun, selain memberi rumah sebagai perlindungan, pihaknya akan menghantar Siti Norafida menjalani pemeriksaan kesihatan setelah ibu bapanya memaklumkan kanak-kanak itu pernah menghidap sawan dan pelbagai kompilasi penyakit lain akibat tinggal di bawah jambatan.
Beliau berkata, pihaknya juga akan cuba mendapatkan pekerjaan bagi Hazmain bersesuaian dengan kebolehannya.
Mohd. Gasing pula berkata, beliau akan menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk mendapatkan bantuan termasuk menyediakan tiket penerbangan pulang ke Sabah sekiranya Hazmain sekeluarga memilih berpindah ke negeri tersebut.

No comments:

Post a Comment