Monday, October 11, 2010

'Bakti saya tidak terhenti'

PUTRAJAYA: “Saya bersyukur dan gembira kerana majlis (pernikahan) berjalan lancar, malah bertambah ceria dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia.


CERIA...Dr Sheikh Muszaphar menyarungkan cincin ke jari Dr Halina pada majlis pernikahan mereka, semalam.
CERIA...Dr Sheikh Muszaphar menyarungkan cincin ke jari Dr Halina pada majlis pernikahan mereka, semalam.

“Apa yang pasti, walaupun sudah berkahwin, saya tetap Dr Sheikh Muszaphar yang sama dan akan terus mencurahkan bakti kepada negara dan terus memberikan ceramah kepada pelajar,” kata angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor selepas diijab kabul dengan Dr Halina Mohd Yunos, semalam.

Pasangan dua sejoli, masing-masing berusia 38 dan 30 tahun yang berpakaian sedondon putih itu diijbabkabulkan bapa Dr Halina, Leftenan Kolonel (B) Mohd Yunos Mohd Ali sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, kira-kira jam 11.40 pagi.

Sebelum itu, Dr Sheikh Muszaphar tiba di masjid kira-kira jam 11 pagi, bersama sembilan dulang hantaran, manakala Dr Halina tiba 10 minit kemudian dengan membawa 11 dulang.

Majlis pernikahan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu turut diserikan kehadiran beberapa angkasawan luar negara kebetulan berada di negara ini sempena Kongres Planetari Association of Space Explorers (ASE) Ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sejak beberapa hari lalu.

Sambil memegang erat suaminya, Dr Halina berkata, beliau berharap rakyat Malaysia mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga mereka agar kekal sehingga ke akhir hayat.
Menurutnya, beliau juga gembira dan berterima kasih kepada mereka yang hadir termasuk mereka yang banyak menyokong suaminya selama ini.

Majlis lebih sejam itu turut dihadiri ibu Dr Halina, Habibah Endan serta ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad.Tarikh 10 Oktober tahun ini menjadi pilihan pasangan berkenaan sempena ulang tahun ketiga Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas selepas bertunang pada awal tahun lalu.

No comments:

Post a Comment