Oleh Mahaizura Abd Malik
bhnews@bharian.com.my
2010/10/11
MARSINAH bersama Nornadia melihat gambar keluarga di rumah mereka di Flet Taman Cendana.
PASIR GUDANG: Seorang nenek terpaksa meminta tiga cucunya bergilir-gilir memakai pakaian sekolah kerana kedaifan hidup hingga sukar menyediakan keperluan persekolahan mereka.Malah Marsinah Md Amin, 70, turut berjimat ketika menyediakan juadah serba sederhana buat keluarganya dengan kebiasaannya jika membeli seekor ayam, ia terpaksa dipotong dan dibahagikan kepada tiga bahagian supaya dapat dijadikan lauk untuk beberapa hari.Marsinah yang menetap di Blok 44, Flet Taman Cendana di sini, bagaimanapun tetap tabah menghadapi dugaan hidup itu demi memastikan tiga cucunya, Mohd Roslin Rosli, 14, Nurnabilah, 11, dan Nornadia, 9, tidak berpisah dengannya.
Katanya, walaupun semakin dihimpit kesempitan hidup memandangkan dirinya tidak mampu untuk bekerja kerana sudah tua, dia tetap tidak mahu memberikan cucunya kepada kenalan walaupun ada yang pernah meluahkan hasrat untuk menjaga ketiga-tiga cucunya itu.
“Saya masih ingat pesan arwah anak saya yang meninggal dunia akibat barah empat tahun lalu yang mahu saya menjaga dan membesarkan mereka menjadi insan berguna.
“Kerana itu saya sanggup ikat perut dan berbelanja secara berhemah bagi memastikan bantuan bulanan sebanyak RM300 diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta RM200 daripada Baitulmal cukup untuk kami berempat,” katanya.
Marsinah berkata, fikirannya kerap bercelaru memikirkan nasib tiga cucu sekiranya dia ditimpa sesuatu perkara tidak diingini memandangkan usianya semakin meningkat dan semakin uzur.
Pada masa sama, Marsinah turut bergantung kepada beberapa jenis ubatan termasuk bagi mengawal tekanan darah dan menghilangkan sengal badan.
“Saya cuba elak daripada memikirkan nasib keluarga yang boleh dianggap seperti sudah jatuh ditimpa tangga tetapi setiap kali terpandang wajah Nornadia, saya mula berasa bimbang menyebabkan tekanan darah tiba-tiba naik.
“Apa tidaknya, ketika Nornadia berusia empat bulan, bapanya meninggalkan ibunya digantung tak bertali dan ketika dia mencecah usia lima tahun, ibunya pula meninggal dunia. Saya tidak tahu apa akan jadi kepada mereka jika saya sudah tiada,” katanya.
No comments:
Post a Comment