MELAKA: Seorang bapa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggengam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) apabila anaknya itu terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, semalam.
Abdul Karim Jamaludin, 60, berkata anaknya Norazmi, 24, dijadual menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Jumaat ini.
"Anak saya pergi ke Kuala Lumpur petang semalam menaiki bas ekspres untuk berjumpa kawan-kawannya bagi membuat persiapan menghadiri konvokesyen itu dan kemudian pergi bersama kawan-kawanya ke UPSI," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, hari ini.
Dalam kejadian 6.40 petang itu, 12 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah van dan tiga kereta.
Abdul Karim yang reda dengan pemergiaan anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kempas, Selandar hari ini.
Sementara itu, Maria Johan, 54, ibu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, Azizi Ajis, 19, berkata anaknya yang baru bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur, menyatakan dia rasa malas untuk pulang ke ibu negara mungkin kerana dia sayang untuk berpisah dengan adik- beradiknya.
"Beliau (Azizi) sempat minta maaf dengan Pak Longnya yang akan menunaikan fardu haji dan minta (Pak Long) doakan dia berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur," katanya yang tinggal di Kampung Gapis, Nyalas di Jasin.
Maria berkata Allahyarham, anak ketiga daripada lima adik-beradik, tidak menunjukkan perubahan yang luar biasa sebelum kemalangan itu berlaku.
Isteri kepada R Ramachandra, 52, pemandu bas ekspres itu, M Gayarati, 47, berkata dia kali terakhir melihat suaminya ketika Ramachandra keluar untuk pergi bekerja pada jam 11 pagi semalam.
"Jam 9 malam tadi kakak saya beritahu ada kemalangan bas ekspres di lebuhraya (Utara-Selatan) saya terus pergi Melaka Sentral (stesen bas) dan dapat tahu kemalangan yang melibatkan suami saya," katanya yang tinggal di Kampung Tengah, Klebang Besar di sini.
Katanya, suaminya adalah seorang pemandu yang berhemah dan berpengalaman yang telah bekerja dengan syarikat bas ekspres itu selama tiga tahun selepas bekerja dengan sebuah syarikat bas bandaran di Melaka selama 15 tahun.
Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, penumpang bas ekspres yang maut dalam kemalangan itu berkata, ini adalah tragedi malang untuk anaknya yang pertama kali menaiki bas ekspres.
"Anak saya sebelum ini tidak pernah berjalan jauh berseorangan, kalau nak jalan jauh pun kami pergi sekeluarga menaiki kereta," katanya.
Katanya, anaknya ke Kuala Lumpur kerana ingin berjumpa dengan seorang rakan dan sepatutnya pulang ke Melaka pada esok (Selasa).-Bernama
No comments:
Post a Comment