Monday, October 11, 2010

Hishammuddin mahu jumpa Sultan Johor mengenai Moorthy



Pengerusi Hindraf dianggap biadab kerana kritik kenyataan Sultan Ibrahim


RAWANG: Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Selasa ini sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), Encik P. Waytha Moorthy.
Menurut laporan, Encik Waytha Moorthy, dalam portal Free Malaysia Today, mempertikai peringatan Sultan Ibrahim supaya semua pihak di Malaysia jangan sesekali mempersoal kuasa raja dan hak serta keistimewaan orang Melayu.Sambil menyifatkan kebiadaban Encik Waytha Moorthy itu sebagai sesuatu yang serius dan terlalu berat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata segala bentuk tindakan yang bakal diambil nanti banyak berkisar pada Sultan Ibrahim sendiri.'Kami akan menghadap Sultan Johor yang kebetulan mempunyai program di Bukit Aman Selasa ini bagi membincangkan tindakan ke atas Waytha Moorthy. Saya telah mengarahkan pihak polis supaya mengkaji dengan teliti apa sebenarnya yang berlaku,' kata Datuk Seri Hishammuddin seperti ditukil Mingguan Malaysia semalam.'Bagi orang Johor, perkara yang menyentuh raja kita (Sultan Johor) adalah sesuatu yang cukup sensitif,' tegasnya.Pengerusi Hindraf itu secara biadab menganggap Sultan Ibrahim sebagai jurucakap kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).Beliau menuduh baginda mencemar pemisahan kuasa dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Gelang Patah dan Pulai akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin ini bagi mengecam tindakan pengerusi Hindraf itu.Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, Encik Khalid Mohamad, berkata tindakan Encik Waytha Moorthy mengkritik kenyataan Sultan Johor dalam laman Free Malaysia Today adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan kerana beliau seolah-olah mempersoalkan kuasa yang ada pada raja-raja Melayu.Menurutnya, kenyataan Encik Waytha Moorthy itu boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.'Kita akan meminta kerajaan supaya menghalang Encik Waytha Moorthy daripada memasuki Malaysia dan pada masa yang sama menutup laman Free Malaysia Today kerana ia merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara ini,' katanya seperti ditukil Mingguan Malaysia.Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menyertai satu tunjuk perasaan secara aman bersama 200 orang di Terminal Pengangkutan Awam Larkin sebagai membantah kenyataan Encik Waytha Moorthy itu kelmarin. -- Mingguan Malaysia.

No comments:

Post a Comment