Monday, October 11, 2010

Enam laporan polis terhadap suspek utama kes bunuh Sosilawati


11/10/2010 2:43pm

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap peguam dan adiknya yang disyaki suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, yang mana kesemuanya berkaitan dengan kes penipuan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Dalam Negeri itu memberitahu Persidangan Dewan Rakyat hari ini, bahawa kesemua laporan yang dibuat di Balai Polis Banting, masing-masing bertarikh 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 dan 14 September 2010.
Beliau berkata, daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes telah selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah.
"Satu telah ditutup berikutan tindakan pengadu menarik semula laporannya dan tiga lagi masih dalam siasatan polis,” katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Kit Siang dalam soalannya ingin tahu tarikh dan jenis laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Sosilawati di Banting serta tindakan terkini terhadap laporan polis berkenaan.
Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 12 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Hishammuddin berkata, tidak timbul persoalan bahawa polis tidak menjalankan siasatan ke atas laporan-laporan yang buat terhadap suspek dan menegaskan bahawa tiada laporan orang hilang dikaitkan dengan suspek sebelum ini.
"Cuma satu laporan sahaja yang dibuat oleh Allal Kathan Kasi iaitu adik kepada A. Muthuraja (hartawan warga India) pada 29 Mac 2010 di Balai Polis Klang. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana fakta kes menjurus kepada penipuan.
"Orang yang disyaki dalam kes ini (kes A. Muthuraja) bukan suspek utama kes Datuk Sosilawati dan tiga yang lain. Laporan kehilangan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek cuma dibuat pada 8 September lepas oleh isterinya S. Usharani, 24, iaitu selepas kes Sosilawati dibongkar termasuklah lain-lain kes yang didedahkan media massa baru-baru ini,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment