Wednesday, October 20, 2010

Denggi di Terengganu 'mencemaskan'



KUALA TERENGGANU - Kes demam denggi di negeri ini dalam situasi ‘mencemaskan’. Sejumlah 1108 kes dilaporkan sehingga 16 Oktober baru-baru ini berbanding 822 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu dengan menunjukkan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu sejumlah 649 kes berbanding 338 kes dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan mencatatkan dua kes kematian. 

“Ia diikuti daerah Dungun (99 kes) dan daerah Besut (117 kes) manakala daerah lain masih dalam keadaan stabil walaupun turut menunjukkan jumlah peningkatan kes dalam tempoh berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam. 

Menurutnya, masalah utama dikenal pasti menjadi penyumbang besar kes demam denggi di daerah Kuala Terengganu ini ber-punca daripada sikap masyarakat yang tidak mengambil berat cara pembuangan sampah. 

“Setelah membuat pemantauan, kami dapati isu utama penyumbang kes tertinggi berpunca daripada corak pembuangan sampah terutamanya di perkampungan tradisional dan juga di kawasan perpindahan. 

“Contohnya di Kampung Chendering dan Kampung Gong Tok Nasek, kami dapati masih ramai dalam kalangan masyarakat di sini tidak mengendahkan cara pembuangan sampah yang betul terutama sampah di dalam plastik,” katanya. 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nordiyanah berkata, tahap kesedaran kaum Melayu menjadi penderma organ masih lagi kurang berbanding kaum lain disebabkan faktor agama. 

“Masih ramai dalam kalangan kaum Melayu di sini takut untuk menjadi penderma organ atas alasan agama sedangkan dalam masa sama, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memutuskan menderma organ (seperti pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia) kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam. 

Sehingga kini, 140,000 rakyat negara ini sudahpun berikrar untuk mendermakan organ dan 300 pendermaan organ dilakukan manakala di negeri ini pula, hanya dua yang sudah berikrar.

No comments:

Post a Comment