Wednesday, October 20, 2010

Berenang peluk anak

TATAU: Ruang seluas kira-kira lima sentimeter dan tong gas menjadi penyelamat kepada seorang ibu dan anak perempuannya daripada mati lemas apabila bot ekspres yang mereka naiki tenggelam selepas terlanggar tali kapal tongkang di hulu Sungai Anap di sini, petang kelmarin.
Elizabeth Diran, 28, dan anaknya, Agnes, 2, menggunakan ruang sempit itu mendapatkan udara bagi bernafas ketika bot yang dinaiki dimasuki air dan tenggelam dengan cepat.

Katanya, selepas beberapa kali menyedut udara di ruang sempit itu, dia tekad berenang keluar sambil memeluk erat Agnes sebelum berjaya berpaut pada sebuah tong gas sebaik keluar dari bot yang tenggelam itu.

Bagaimanapun, Elizabeth terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan seorang lagi anaknya, Alicia yang berusia lima tahun kerana ketika kejadian mereka duduk berasingan.

Menceritakan kejadian itu, Elizabeth berkata dia menaiki bot berkenaan untuk pulang ke Rumah Ado di Kakus dari Tatau yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bintulu menggunakan laluan sungai.

“Sebaik bot dinaiki tiba di lokasi kejadian, saya terdengar bunyi seperti letupan sebelum air mencurah-curah masuk ke dalam bot.
“Ketika itu, saya sedang memangku Agnes yang sedang tidur, manakala Allicia duduk di tempat lain dan apabila bot kami tenggelam, saya tidak melepaskan Agnes daripada pelukan dan berteriak mencari Allicia.

“Pada masa sama, saya berusaha mencari ruang untuk menyelamatkan diri tapi gagal. Ketika berusaha mencari jalan untuk mengelak mati lemas bersama Agnes, saya menemui satu lubang untuk bernafas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

“Ketika itu, saya hanya ingat mati selepas usaha memaut pada tongkang gagal. Tangan kanan saya cuba memaut, manakala tangan kiri memeluk Agnes.

“Tiba-tiba, datang seorang wanita tidak dikenali menarik anak saya, sekali gus membolehkan saya memaut pada sebuah tong gas terapung,” katanya.

No comments:

Post a Comment