Wednesday, October 20, 2010
Masih belum terlambat UMNO tarik diri
KOTA BHARU – Seminggu sebelum tempoh penamaan calon Pilihan Raya Kecil Galas tamat, Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, masih belum terlambat sekiranya UMNO menarik diri daripada meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, UMNO disifatkan sebagai parti yang berjiwa besar sekiranya tidak bertanding, sekali gus membuktikan bahawa parti itu betul-betul berhasrat mengamalkan perpaduan.
“Tidak menjadi sesuatu yang menjatuhkan maruah sekiranya UMNO sebagai parti besar kaum Melayu tidak bertanding atas dasar perpaduan, malah mereka boleh dianggap sebagai berjiwa besar dan berjihad,” katanya pada sidang media sempena Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kelantan, di sini, semalam.
Sebelum ini, Takiyuddin pernah mencadangkan UMNO tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil ini, namun ditolak kepimpinan Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Takiyuddin berkata, pilihan raya kecil yang melibatkan Pas dan UMNO hanya akan menimbulkan percanggahan dan tuduh menuduh sehingga membawa kepada kerenggangan yang lebih luas antara kaum Melayu.
“Kalau pun UMNO menang di Galas, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan atau impak yang besar kerana mereka hanya menambah satu kerusi; enam menjadi tujuh, itu sahaja. UMNO tidak dapat memberikan pembangunan kepada rakyat Galas kerana mereka tidak bersama Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa tidak ada pembangunan yang dilakukan Pas di Galas.
“Gua Musang di bawah majlis daerah dengan kerjasama syarikat swasta banyak membina hotel-hotel, rumah kedai, perumahan yang habis dijual, membuktikan pembangunan dibuat Kerajaan Negeri.
“Terbaru, projek perumahan golongan miskin di Bandar Utama Gua Musang yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lama lagi,” katanya.
Labels:
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment