KUCHING: Kecuaian manusia dikenal pasti sebagai punca bot ekspres karam di hulu Sungai Anap, Tatau, kelmarin, kerana siasatan awal mendapati ia mematuhi spesifikasi dan lulus ujian keselamatan yang dilakukan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) baru-baru ini.
Pengerusi LSSS, Roland Sagah Wee Inn, berkata siasatan yang dijalankan turut mendapati bot yang boleh memuatkan 40 penumpang itu tidak lebih muatan, selain dilengkapi jaket keselamatan yang sama ada diletak di ruang bawah tempat duduk atau di atas kepala penumpang.
Katanya, melalui laporan siasatan awal yang diterimanya semalam, mengesahkan kesilapan juragan bot yang berusia 58 tahun itu sebagai punca kemalangan.
Menurutnya, tindakan juragan cuba memintas tongkang balak yang sedang ditunda di selekoh sungai berkenaan adalah satu kesilapan besar yang membawa kepada tragedi.
“Juragan membuat keputusan silap kerana cuba memotong tongkang berkenaan di kawasan selekoh sungai sehingga bot yang dipandu bergesel sebelum kipas bot ekspres berkenaan tersangkut pada tali yang digunakan bagi menarik tongkang terbabit.
“Akibat momentum pergerakan bot ekspres dan tongkang itu menghala ke arah sama, menyebabkan ia terbalik serta-merta dan karam,” katanya ketika dihubungi semalam.
No comments:
Post a Comment