Wednesday, October 20, 2010

'Saya ikut tingkap'

RESAH...ahli keluarga sedih menunggu mayat mangsa lemas.
RESAH...ahli keluarga sedih menunggu mayat mangsa lemas.
BINTULU: “Semuanya kelam-kabut, tetapi saya dapat memecahkan tingkap bot dan berenang keluar,” kata Silo Gerenang, 58, seorang daripada tujuh penumpang yang selamat selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Kakus, Kelebu di sini, semalam.
Menurut Silo, sebaik bot yang membawa lebih penumpang itu terbalik selepas berlanggar dengan bot tunda balak di Ulu Sungai Anap, suasana menjadi kelam-kabut dengan jeritan penumpang meminta tolong dan ada juga berasak mencari jalan keluar menyelamatkan diri.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan kebanyakan penumpang gagal menyelamatkan diri kerana terperangkap. Saya bersyukur dapat keluar dan berenang ke tebing sungai sebelum dibawa orang ramai ke hospital,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah bot yang sarat dengan 30 penumpang terbalik selepas bot dinaiki tersangkut tali tongkang dan 19 daripadanya masih hilang dan dikhuatiri lemas.

Sehingga jam 8 malam tadi, empat mayat ditemui manakala nasib yang lain belum diketahui. Dua mayat ditemui kira-kira jam 8 malam dan kira-kira 40 minit kemudian, satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam bot terbabit.

Selang lima minit kemudian mayat keempat ditemui ketika bot ekspres yang terbalik ditarik naik ke permukaan menggunakan sebuah tongkang lain.

Difahamkan, bot ekspres berkenaan tidak menyediakan jaket keselamatan kepada penumpang dan ketika kejadian ia membawa penumpang berlebihan.

Tragedi semalam mengimbas kembali beberapa kejadian bot karam di Sarawak membabitkan kehilangan ramai penumpang.

Pada April 1999, 12 pelajar Sekolah Menengah Pusa maut apabila bot laju yang mereka naiki berlanggar dengan kapal pengangkut kayu di Sungai Saribas dan sehari selepas itu, sekali lagi penduduk mendapat berita buruk apabila tujuh penumpang mati lemas selepas bot pukat tunda berlanggar tongkang pasir di sungai yang sama.

Manakala pada April 2005, kira-kira jam 4 pagi, bot pukat tunda dinaiki 16 penumpang dari Kuching ke Beladin berlanggar dengan tongkang membawa pasir menyebabkannya tenggelam mengorbankan tujuh nyawa.

Tragedi paling besar pernah tercatat dalam sejarah pengangkutan di Sarawak ialah kapal MV Pulau Kidjang, kapal pengangkut penumpang dan kargo yang karam di muara Sungai Rejang (perairan Tanjung Jerijeh) pada Disember 1973. Dalam kejadian itu, Pulau Kidjang yang dipercayai mampu memuat seramai 150 penumpang mengorbankan 121 nyawa penumpang dan hanya 38 orang terselamat dalam kejadian yang berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk ketika pelayaran.http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment