Wednesday, October 20, 2010
Panik Kerajaan Negeri ambil rumah
HUTAN MELINTANG - Seramai 59 pemilik rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Sungai Dulang, di sini panik apabila rumah yang dibeli mereka akan diambil oleh Kerajaan Negeri.
Seorang pembeli, Razali Sabdin, 54, berkata, majoriti pemilik rumah tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri mengenakan tindakan ‘spray’ tanpa sebarang perbincangan dengan penduduk.
Menurutnya, surat arahan supaya menjelaskan tunggakan itu diterima penduduk pada Jumaat lalu.
“Bukannya kami tidak bayar langsung, cuma ada tunggakan sahaja tetapi mereka tak patut buat macam ini kepada kami.
“Kami tidak mahu kehilangan rumah dan masalah ini perlu dibawa berbincang dengan penduduk yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di RPA Sungai Dulang, di sini, kelmarin.
Razali berkata, jumlah tunggakannya cuma RM7,411 dan kadar bulanan sebanyak RM137 masih terus dibayar.
"Masih ada enam tahun lagi tempoh untuk melangsaikan bayaran rumah berkenaan yang akan tamat pada 2016," katanya.
Tempoh terlalu singkat
Seorang lagi penduduk, Tan Teck Chai, 52, berkata, tempoh yang diberikan oleh kerajaan terlalu singkat iaitu sebulan dan hujung bulan nanti penduduk diarahkan pindah.
Menurutnya, jumlah tunggakannya RM7,000 tidak mampu untuk dibayar sekali gus kerana keluarganya bukan berpendapatan tinggi.
“Saya cuma kerja kampung dan mana boleh dalam tempoh sebulan untuk bayar semua hutang yang tertunggak itu.
“Penduduk di sini memohon Kerajaan Negeri menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan penduduk berpendapatan rendah,” katanya yang turut mengadukan hal tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan, kelmarin.
Katanya, harga setiap rumah di situ berbeza-beza dan nilai rumah yang dibelinya adalah bernilai RM41,000.
"Rumah yang dibeli ini saya didiami bersama isteri, seorang anak dan bapa yang sudah pun uzur," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, G Pendamah, 59, berkata, dia kini menghadapi masalah untuk membayar sejumlah RM29,565 iaitu tunggakan yang dikenakan.
Menurutnya yang juga merupakan ibu tunggal, dia sukar menjelaskan hutang itu selepas mengalami lumpuh separuh badan dan tidak boleh bekerja.
"Saya cuma sempat membayar ansuran selama enam bulan sahaja sebelum penyakit berkenaan menyerang.
"Selepas menerima surat arahan itu, keadaan hidup saya semakin tertekan kerana memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar jumlah yang tertunggak itu," katanya.
Ibu kepada enam anak itu berkata, mungkin dia akan meminta anak-anaknya membantu untuk menjelaskan tunggakan rumah berkenaan.
"Dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM300, saya tidak mampu untuk membayar wang tunggakan itu," katanya.
ADUN mahu bincang dengan MB
Sementara itu, ADUN Hutan Melintang, S Kesavan yang menemui penduduk di situ berkata, beliau akan cuba mengadakan temu janji dengan Menteri Besar (MB) Perak bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, bayaran balik perlu dibuat mengikut kemampuan penduduk dan tidak boleh dibuat secara paksa.
“Memang kita dah terima aduan ini sejak Jumaat lalu dan hari ini (kelmarin) saya sendiri datang bertemu penduduk untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi,” katanya.
Menurut Kesavan, kerja melabel dengan cat merah perlu ditarik balik kerana ia memalukan penduduk seolah-olah mereka langsung tidak membuat permbayaran ansuran bulanan yang ditetapkan.
"Bagi masyarakat India yang akan meraikan Deepavali tidak lama lagi, masalah itu sesuatu yang memeritkan.
"Bukan sahaja penduduk terpaksa mengosongkan rumah, tetapi mereka juga terpaksa menanggung malu apabila saudara mara datang ke rumah sempena perayaan kaum India itu," katanya.
Labels:
Panik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment