Rakyat perlu berterima kasih kepada Dr. Mahathir - Ezam
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan liwat bukan sahaja tepat malah rakyat harus berterima kasih dengan tindakan tegas yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 telah membuktikan bahawa tuduhan Dr. Mahathir itu adalah betul.
Menurutnya, keputusan bertulis hakim-hakim jelas bahawa terdapat aktiviti homoseksual yang didakwa walaupun terpaksa membebaskan Anwar atas sebab teknikal.
"Ya, keputusan Dr. Mahathir pada masa itu tepat walaupun ia satu keputusan yang amat sukar kerana ramai rakyat tidak dapat menerima dan mencemuhnya.
"Saya sendiri antara yang menentang keputusan Dr. Mahathir ketika itu kerana terpengaruh dengan sandiwara dan muslihat Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir semasa bercakap pada forum masyarakat antarabangsa menegaskan bahawa tindakannya pada 10 tahun lepas sebagai satu yang tepat dan bukan satu konspirasi.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir mahu semua pihak berfikir sebelum membuat sebarang tuduhan apatah lagi Anwar di dalam kes terbarunya turut disabitkan dengan tuduhan yang sama.
Justeru Mohamad Ezam menyeru kepada mereka yang masih menyokong Anwar supaya menilai secara objektif, rasional dan membuang perasaan emosional terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Malah tegasnya, kesilapan beliau dan ramai lagi orang ketika itu adalah kerana bersikap terlalu emosional.
"Kita mesti ikut sikap tegas Dr. Mahathir dan bersikap rasional untuk menolak pemimpin seperti itu.
"Keputusan tersebut juga sebenarnya menjadi asas kepada diri saya untuk meninggalkan Anwar," katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr. Shamrahayu A Aziz berkata, tindakan Dr. Mahathir mempunyai asas tersendiri kerana beliau lebih tahu apa yang berlaku ketika itu.
"Dr. Mahathir seorang pemimpin berani dan buat apa yang dia kata. Tindakan mesti ada sebab dan mungkin dia tahu apa yang Anwar buat ketika itu," katanya yang juga Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
No comments:
Post a Comment