Wednesday, October 20, 2010

Abang beritahu Aminulrasyid hilang



SHAH ALAM – Seorang penuntut mendakwa abang kepada Aminulrasyid Amzah memberitahunya, adiknya itu hilang bersama kereta kakaknya pagi kejadian sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar pokok, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, April lalu. 

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, juga mendakwa abang Aminulrasyid, Muhammad Shahreeman Putra Amzah, 29, menghubunginya supaya dia menceritakan kejadian itu. 

Dia memberi keterangan itu dalam perbicaraan seorang anggota polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam , Koperal Jenain Subi, 48, yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu. 

Dalam keterangan lalu, dia mendakwa melihat sebuah kereta terbabas dan seorang lelaki melarikan diri selepas mendengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumahnya yang terletak di atas bukit. 

Sebelum itu saksi itu mendakwa mendengar bunyi mercun seperti tembakan diikuti bunyi siren kereta peronda polis. 

Ketika disoal peguam M Athimulan perihal bagaimana abang Aminulrasyid tahu mengenainya yang melihat kejadian, Zafrullah Ahmad menjelaskan, pada malam itu dia cuba menghubungi lelaki itu berhubung kejadian sebuah kereta terbabas di lorong berdekatan. 

Katanya, dia sengaja ingin memberitahu Shahreeman kerana berdekatan rumah rakannya sedangkan dia tidak mengetahui kereta terbabas membabitkan Aminulrasyid. 

Bagaimanapun talian tidak berangkat tetapi jam 8 pagi, Shahreeman menghubunginya supaya menceritakan kejadian itu dan dia kemudian ke rumahnya. 

“Pada masa itu dia (Shahreeman) tidak tahu kejadian. Dia cakap kereta dan adiknya hilang,” katanya. 

Dia menceritakan kejadian itu kepada Shahreeman berdasarkan pengetahuan dan penglihatannya pada malam itu.

No comments:

Post a Comment