Thursday, October 7, 2010

Ibu tunggal rayu bantuan anak menderita sakit lumpuh



Norini Abidin menyuapkan susu khas kepada Mohd. Nor Husaini di Felda Seroja Jengka 18, Kuala Krau, kelmarin.



KUALA KRAU 6 Okt. - Ibu mana yang sanggup melihat anaknya terlantar akibat menderita penyakit lumpuh. Begitulah kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang ibu tunggal yang tabah memelihara dua anak kurang upaya yang terlantar lumpuh di Felda Seroja Jengka 18, di sini.
Norini Abidin, 56, memberitahu, dua daripada empat anaknya diserang demam panas yang menyebabkan mereka cacat malah seorang daripadanya lumpuh seluruh anggota badan.
Menurutnya, anak ketiganya, Mohd. Nor Afendy Samsudin, 27, diserang demam panas ketika berusia 10 tahun.
''Walaupun dia disahkan cacat namun dia masih boleh bergerak manakala adik bongsunya, Mohd. Nor Husaini, 21, lumpuh setelah diserang demam panas ketika berusia sembilan tahun.
''Anak bongsu saya hilang upaya untuk bergerak dan hanya mampu terbaring atas tilam serta tidak berupaya melakukan apa-apa walaupun bertutur dengan kami.
''Mohd. Nor Afendy sangat memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan kesihatannya serta keperluan fizikalnya seperti makan, minum dan mandi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya semalam.
Berikutan keadaan mereka itu katanya, Mohd. Nor Afendy dan Mohd. Nor Husaini bergantung kepada lampin pakai buang sebanyak satu dozen sehari selain satu pek susu tepung seminggu.
''Makanannya hanya nasi bubur dan buah-buahan yang dikisar halus serta susu yang diminum melalui botol. Makan perlu disuap dengan berhati-hati kerana jika tersalah boleh menyebabkan keseluruhan badan Husaini kebiru-kebiruan," katanya.
Menurutnya, setiap hari kedua-dua anaknya itu perlu diusung ke bilik air untuk mandi.
Menurut Norini, setakat ini hanya Mohd. Nor Afendy memperoleh bantuan skim orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan bermula Januari lalu.
''Bagaimanapun, adiknya yang terlantar langsung tidak menerima bantuan walaupun saya membuat dua permohonan," katanya.
Norini memberitahu, dua lagi anak perempuannya yang sudah berkahwin turut tinggal bersamanya dan menjaga ibunya yang berusia 80 tahun yang kurang sihat.
Dia bersyukur kerana dua anak perempuannya dan menantu sering membantu menjaga dua adik mereka yang memerlukan penjagaan rapi untuk meneruskan kehidupan.
Ketabahan ibu tunggal itu menarik perhatian Yayasan Felda yang mengunjungi keluarga Norini di tanah rancangan itu hari ini.
Menurut Pengarah Yayasan Felda, Zalfan Mohd. Rashid, kunjungan itu merupakan antara agenda dalam program Melakar Kasih yang dilancarkan di tanah rancangan itu baru-baru ini.
''Sumbangan Yayasan Felda kepada Norini bernilai RM3,000 dalam bentuk barangan seperti pakaian, tilam, katil dan cadar khas untuk OKU, lampin pakai buang serta wang tunai RM500,'' katanya.
Menurut beliau, Yayasan Felda yang ditubuhkan pada 1998 memperuntukkan sebanyak RM275,000 untuk tujuan bantuan kebajikan.
Turut sama mengunjungi keluarga malang itu ialah Timbalan Pengarah Yayasan Felda 1, Yahya Lim; Timbalan Pengarah Yayasan Felda 2, Mohd. Bainuri Aris; Penolong Pengurus Besar Wilayah Jengka, Zulkifli Md. Naam; Pengurus Felda Jengka 18, Mazlan Abd. Khalid dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 18, Samad Samah.

No comments:

Post a Comment