2010/10/07
BESUT: Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan hari ini menafikan laporan dua akhbar bahawa ketua ajaran sesat Ariffin Mohamad atau dikenali sebagai Ayah Pin kembali bergerak aktif di Hulu Besut dan sedang mengumpul pengikutnya. Katanya pemantauan polis mendapati tiada sebarang kegiatan berlaku di perkampungan peninggalan Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut.
"Polis percaya buat masa ini Ayah Pin masih berada di negara jiran," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Raja di sini hari ini.Dua akhbar itu hari ini melaporkan Ayah Pin, 70, dikesan aktif menghidupkan kembali apa yang dikenali sebagai "Kerajaan Langit" pimpinannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, di sini.
Menurut laporan akhbar itu, pengikut Ayah Pin yang hadir itu ada antaranya datang dari Selangor, Pahang dan Johor dengan menaiki pelbagai kenderaan mewah.
Tinjauan Bernama di perkampungan berkenaan mendapati keadaan di situ tenang dan beberapa penduduk menjalani kegiatan masing-masing.
Namun beberapa penduduk luar dan orang tertentu mendakwa masih wujud kegiatan yang meragukan di perkampungan itu terutamanya pada hari Ahad.
Mereka meminta pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan itu secara terperinci.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail yang dihubungi enggan mengulas tentang perkara itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment