Thursday, October 7, 2010

KDN perlu tegas jaga bangsa dan negara


Oleh - Ramlan Husain


Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak tegas termasuk menahan dan mendakwa individu yang mempermainkan bangsa Melayu dan menghina agama lain menerusi Facebook, blog dan ceramah. Sehingga kini tiada sebarang tindakan terhadap pemuda dari Muar, Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman. KDN perlu segera mengambil tindakan paling keras seperti tarik balik kerakyatan, buang daerah atau didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain. 

Sebelum ini ramai masyarakat menyuarakan kebimbangan, sekiranya KDN tidak mengambil tindakan tegas terhadap Namewee akan melahirkan lebih ramai lagi ‘Namewee’ selepas itu. Benar, kebimbangan kini menjadi kenyataan. Sikap KDN yang berlembut ini telah menyebabkan semakin ramai yang berani menghina Islam. Buktinya, selepas itu muncul pula Katy Lim Li Nian yang menghina Islam di internet termasuk laman sosial Facebook. KDN juga masih berlembut dan tiada sebarang tindakan ke atas individu ini. Terbaru, seorang paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen yang dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak. KDN juga masih belum mengambil tindakan sewajarnya. Kita percaya selepas ini akan muncul lagi mereka-mereka yang terus menghina orang Melayu dan Islam. 

Apakah KDN menunggu umat Islam hilang kesabaran dan bertindak sendiri sebelum mengambil tindakan? Ramai yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan bagi menyejukkan keadaan. Ini negara kita, kita sayangkan negara ini. Maka oleh itu apa peduli orang luar cakap mengenai hal ehwal keselamatan kita. Melihatkan suasana mutahir ini, maka ISA harus diteruskan. Ikut trend semasa, orang cuba merosakkan keharmonian ini tidak peduli langsung dengan Akta Hasutan. Repot-repot polis di bawah akta ini juga tidak lagi berkesan. Kita bimbang pada masa siasatan demi siasatan dijalankan, nasi sudah menjadi bubur. 

Justeru, selagi perlembagaan negara yang menjadi tunjang kepada kenegaraan ini terus dipermainkan, selagi isu-isu perkauman yang boleh memporak-perandakan masyarakat terus diperkotak-katikkan, selagi soal agama dipertikaikan, selagi soal raja-raja Melayu diperkecil-kecilkan, ISA masih diperlukan. Persoalannya, apakah kejayaan negara ini selama ini berlaku adalah kerana ISA dihapuskan?. Singapura yang maju itupun masih ada ISA, begitu juga di Thailand. 

KDN khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu tegas dan bertindak pantas untuk menangani kes jenayah yang sangat membimbangkan kini. Terbaru. Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, jutawan kosmetik dan tiga lelaki lain telah menggemparkan negara. Jangan beri sedikit ruang pun kepada suspek-suspek yang terlibat ini untuk terlepas daripada hukuman yang setimpal dan segera diheret ke mahkamah. 

Persoalan timbul mengapakan kes beberapa laporan orang hilang yang turut dikaitkan dengan suspek-suspek pembunuhan Sosilawati sebelum ini tidak diambil tindakan segera oleh PDRM yang diakui mempunyai pasukan perisik antara yang terbaik di dunia. Selepas ini, kami mengharapkan tindakan yang telus dari PDRM tanpa memilih bulu. PDRM juga wajar memberi fokus terhadap ‘kawasan hitam’ yang kerap berlaku jenayah. Tempatkan pondok polis di kawasan tersebut dan rondaan lebih kerap perlu dilakukan. PDRM wajar mengambil tindakan susulan terhadap laporan-laporan kes jenayah dengan segera dan pantas. 

KDN jangan bimbang, Menterinya jangan bimbang. Kami semua rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup di negara berbilang kaum ini, di belakang anda. Jangan berkompromi kepada mereka-mereka yang mengganggu gugat hal ehwal keselamatan negara Malaysia tercinta ini. 



RAMLAN HUSAIN Setiausaha Kehormat Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

No comments:

Post a Comment