Thursday, October 7, 2010

Lelaki 'kaki botol' serang, ugut wartawan


PASIR GUDANG – Berang kerana gagal mendapatkan rumah murah, seorang lelaki dipercayai 'kaki botol' menyerang wartawan Sinar Harian Skuad Pasir Gudang, Azizan Inche Harun, dan bertindak memecah cermin tingkap dan pintu rumah kakak wartawan itu, di sini, malam semalam. 

Beberapa anggota polis yang tiba kira-kira jam 9.30 malam ketika lelaki berusia 37 tahun itu sedang mencari parang selepas mengejar dan mengugut hendak mencederakan wartawan itu, tetapi sempat dihalang daripada bertindak ganas. 

Isteri lelaki itu yang turut berada di situ turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap wartawan terbabit 

Azizan melaporkan kepada polis bahawa suami isteri itu ’menyerang’ rumah kakaknya kerana tidak ber-puas hati setelah mendapat tahu beliau enggan meneruskan usaha menolong mereka mendapat sebuah rumah murah. 

Menurut Azizan, beliau sebelum ini menyiarkan berita mengenai kesempitan hidup pasangan terbabit yang mempunyai tujuh anak untuk membantu mereka. 

Bagaimanapun, setelah mendapat tahu lelaki berkenaan sebenarnya ’kaki botol’ daripada isterinya sendiri, Azizan mengambil keputusan tidak mahu meneruskan hasratnya kerana merasa dirinya dan akhbar yang diwakili ’dipergunakan’ untuk meraih simpati. 

Azizan berkata, dia bersungguh-sungguh berusaha untuk membantu keluarga itu sehingga hampir berjaya mendapat sebuah rumah murah tetapi menukar fikiran setelah mendapat tahu sikap buruk lelaki itu. 

"Selepas mengejar dan mengugut hendak bunuh saya, lelaki berkenaan mengaku dia menyerang dalam keadaan mabuk," katanya. 

zizan sedih kerana niatnya ingin membantu keluarga yang difikirkan benar-benar memerlukan pertolongan dibalas dengan tindakan biadap. 

Katanya, dakwaan isteri lelaki itu sebelum ini bahawa suaminya itu sakit dan tidak mampu melakukan kerja berat, rupa-rupanya sandiwara semata-mata. 

"Macam mana orang yang kononnya sakit boleh mengejar saya dan menendang pintu rumah hingga hampir pecah?" katanya. 

Azizan berkata, dia terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan diri dan keluarganya. 

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penyewa-Penyewa Rumah Pangsa di kawasan berkenaan, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, mengikut rekod, keluarga itu pernah menerima bantuan daripada Mayang Pasir Gudang pada 2008. 

Katanya, mereka pernah pulang ke negeri asal di Kelantan untuk beberapa ketika, tetapi kembali semula ke Johor. 

”Pasangan itu dipercayai banyak mendapat bantuan masyarakat sejak berita mengenai kesempitan hidup mereka disiarkan dalam Sinar Harian,” katanya. 

Shamsul Bahrin berkata, tindakan menyerang wartawan yang cuba menolong mereka adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak berterima kasih. 

Beliau turut mencadangkan agar pasangan itu menyerahkan anak-anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara jika benar-benar tidak mampu. 

Beberapa hari lalu, akhbar ini menyiarkan kisah sebuah keluarga tujuh beranak yang merayu mendapatkan bantuan kerana kesempitan hidup. 

Mereka mendakwa tinggal di rumah sewa dan menunggu masa diarah keluar oleh pemilik rumah kerana tidak mampu bekerja berat selepas menjalani pembedahan:.:

No comments:

Post a Comment