Thursday, October 7, 2010

Pas tak akan beri menang percuma




KOTA BHARU 6 Okt. – Pas tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya beliau dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, parti itu sebaliknya akan tetap memberi tentangan kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu meskipun beliau dilihat menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak.
Katanya, Pas bukannya melawan Tengku Razaleigh atas sifat peribadi tetapi kerana fikrah atau pegangan parti yang didokongnya.
“Tidak boleh jadi (beri kemenangan percuma), kita lawan parti, bukan lawan separuh-separuh. Kita lawan dasar dia, dasar agama dan politik mesti diselaraskan. UMNO ini Melayu, kalau UMNO berbangsa Arab pun kita akan lawan juga.
“Kita akan lawan, kita lawan UMNO ini bukan (kerana) lawan batang tubuh, (kita) lawan fikrahnya, lawan teori dia (yang memegang konsep) agama lain dan politik lain.
“Ini bahaya, agama bukannya begitu. Agama (Islam bergantung sepenuhnya kepada) al-Quran, tidak boleh kurang satu juzuk atau satu huruf. Jadi bagaimana mahu pisahkan agama daripada politik (kerana) bila dipisahkan, maka tidak adalah agama itu sendiri.
“Agama ini maknanya peraturan hidup. Peraturan hidup macam mana kalau kita hidup cara kita, tidak hidup cara al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Markas 8 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Rahim Abdul Mutalib dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Makhtar Mustaffa.
Nik Abdul Aziz turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa bukan taraf Tengku Razaleigh untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil tersebut kerana semasa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dahulu, beliau juga tidak pernah meletakkan dirinya sebagai calon di DUN.
“Ku Li sendiri tidak letak diri dia sebagai calon negeri semasa jadi pengerusi perhubungan UMNO negeri, beliau lebih layak jadi calon negeri (kerana jadi pengerusi badan perhubungan) tapi beliau tidak buat, beliau pun barangkali tidak mahu.
“Kalau beliau mahu, mana orang boleh sekat sebab beliau pengerusi perhubungan, sebab itu saya kata, memang bukan taraf Ku Li,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Abdul Aziz berkata, Pas sudah bersedia dan mempunyai senarai calon berkelayakan yang panjang untuk dipilih.
“Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita telah tunjukkan yang Pas di Kelantan telah berjaya menarik minat orang Cina dan India, sehinggakan mereka sudah ada Kelab Penyokong Pas,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri yakin orang bukan Melayu akan menyokong Pas dalam pilihan raya tersebut kerana mereka sudah tidak ‘fobia’ kepada Islam.
Katanya, sikap ‘Islamophobia’ tidak ada di negeri ini kerana perjuangan parti itu telah berjaya membawa banyak perubahan kepada pemikiran orang bukan Melayu di sini.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 26 Oktober, manakala hari pengundian ialah 4 November.

No comments:

Post a Comment