Saturday, October 2, 2010

Ahli Parlimen Serdang beri keterangan berhubung isu surau

KAJANG: Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung ceramahnya di ruang solat surau Al-Huda di Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Teo hadir bersama Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah dan anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo kira-kira 10.45 pagi dan berada di situ sehingga 12.30 tengah hari. "Saya percaya yang saya tidak bersalah dan meminta polis siasat perkara ini dan menyelesaikannya dengan segera," katanya kepada pemberita. Teo berkata, semasa keterangan diambil, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa tujuan dia dipanggil adalah bagi mengetahui perkara sebenar dan bukan untuk didakwa. Teo dikatakan memasuki ruang solat surau tersebut dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada anak kariah dengan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya. Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu arus perdana dikatakan telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah. Berikutan itu, pada 27 Ogos Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menghantar surat amaran kepada Teo. -Bernama

No comments:

Post a Comment