Friday, November 12, 2010

6 hari bawah jambatan

ALOR SETAR: “Sudah enam hari kami tiga beranak terpaksa berlindung di bawah jambatan Lebuhraya Tun Abdul Razak, selepas rumah kami ditenggelami banjir besar minggu lalu dan tiada siapa datang menolong,” dakwa Azmi Ali, 56, penduduk Taman Syed Muhammad berhampiran Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini.
Azmi antara lebih 200 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman kira-kira jam 5 petang kelmarin di hadapan Masjid Sultanah Bahiyah di sini, menggesa tindakan diambil terhadap kontraktor yang bertanggungjawab membina landasan kereta api berkembar didakwa sebagai punca banjir besar di negeri itu.

Ketika bantahan dikawal anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, beberapa wakil kontraktor utama iaitu MMC-Gamuda, hadir memberi penjelasan kepada penduduk.

Azmi yang mewakili penduduk mendakwa, air banjir tidak dapat mengalir keluar menyebabkan banjir besar di kawasan perumahan sekitar seperti Taman Uda, Lorong Fajar, Taman Golf, Taman Rakyat, Taman Seri Taman, Taman Muhibbah dan banyak lagi kawasan perumahan di situ.

Katanya, sebelum pembinaan landasan itu kawasan berkenaan adalah sawah paya dengan cabang laluan sungai menghala ke Alor Merah sekali gus memudahkan pengaliran air setiap kali hujan lebat.

“Disebabkan pembinaan landasan dan tambunan tanah di sini, air tidak dapat mengalir keluar ketika banjir besar minggu lalu.

“Ketika banjir saya ada melihat beberapa petugas daripada MMC-Gamuda datang mengorek tanah sebanyak tiga kali kononnya untuk mengalirkan air banjir. Cubalah fikir secara logik, kawasan sawah paya ini sudah tertambun dengan tanah sekali gus nak korek macam mana lagi untuk mengalirkan air,” katanya.

Katanya, banjir besar minggu lalu adalah pertama kali berlaku di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 10,000 penduduk terjejas teruk dan mengalami kerugian besar.
Penduduk setempat, Sarjet Singh, 59, pula berkata, sepanjang 40 tahun tinggal di kawasan itu kejadian banjir besar seperti itu tidak pernah berlaku.

“Sebelum ini, laluan air semuanya lancar tetapi selepas tambunan tanah (daripada projek pembinaan landasan keretapi berkembar) baru-baru ini, air seolah-olah tersekat dan tidak dapat mengalir keluar,” katanya.

Dia mendakwa, landasan lama dibina British mempunyai dua laluan air di kiri dan kanan tetapi sudah dtimbus untuk projek pembinaan landasan baru itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pembinaan Projek MMC-Gamuda, Abdul Razak Othman berkata, pembinaan landasan baru itu bukan punca banjir besar di sekitar Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

No comments:

Post a Comment