Friday, November 12, 2010

Rasa curiga Nurasyikin selamatkan kanak-kanak


ABD. Rahim Hamzah Othman menyampaikan sijil penghargaan kepada Nurasyikin Ruji di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Rasa curiga seorang pekerja hotel dengan tindak-tanduk seorang budak berusia tiga tahun yang sangat lincah berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu daripada menjadi mangsa jenayah lelaki warga asing.
Nurasyikin Ruji, 40, yang menemui Mohd. Amin Rozi ketika menaiki bas RapidKL semalam terdorong untuk membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya selepas melihat dia cuba dihampiri seorang lelaki warga asing.
Ketika itu, wanita itu bersama seorang anak perempuannya menaiki bas dari Cheras menuju ke ibu kota kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketika menceritakan penemuan kanak-kanak itu, Nurasyikin memberitahu, dia nampak kanak-kanak tersebut menaiki bas berkenaan sambil memegang botol susu.
Katanya, kanak-kanak tersebut dilihat menaiki bas bersama sekumpulan remaja, bagaimanapun tidak duduk bersama kumpulan remaja itu sebaliknya duduk berseorangan di tepi tingkap.
"Kanak-kanak itu sungguh lincah dan sering bertukar tempat duduk sambil mulutnya tidak berhenti bercakap.
"Saya curiga dengan sikapnya dan pasti kanak-kanak itu mungkin hilang daripada jagaan ibu bapanya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dibiar menaiki bas seorang diri hingga menimbulkan rasa hairan kepada penumpang di dalam bas berkenaan.
Kanak-kanak itu dijaga selama lima jam oleh seorang wanita yang merupakan penumpang bas berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Nurasyikin berkata, tiba-tiba dia nampak seorang lelaki warga asing berusia lingkungan lewat 30-an duduk di sebelah kanak-kanak itu sambil memujuk supaya mengikutnya.
"Sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku, saya terus merapati kanak-kanak itu dan membawanya pulang ke rumah.
"Saya menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa pada hari yang sama," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abd. Rahim Hamzah Othman berkata, pihaknya menghubungi ibu bapa kanak-kanak terbabit yang turut membuat satu laporan mengenai kehilangannya pada hari kejadian.
"Difahamkan, kanak-kanak lincah itu 'terlepas' daripada jagaan datuknya yang tertidur di dalam kereta selepas kepenatan mencuci kereta di tempat letak kereta di Flat Sri Sabah, Cheras semalam.
"Sikap yang ditunjukkan oleh Nurasyikin itu patut diteladani oleh semua orang kerana ia mampu membendung jenayah yang mungkin dialami oleh kanak-kanak seperti Mohd. Amin," katanya.

No comments:

Post a Comment