Friday, November 12, 2010

Menteri Komunikasi Indonesia dikecam


PETIKAN video jelas menunjukkan Tufatul Sembiring bersalaman dengan Michelle Obama di Jakarta, kelmarin. - AP


JAKARTA 11 Nov. - Media dan blog-blog Indonesia hari ini dipenuhi dengan kecaman terhadap seorang menteri konservatif yang meluahkan rasa malunya selepas berjabat tangan dengan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama.
Pengkritik-pengkritik menuduh menteri itu menipu tentang insiden 'berjabat tangan' itu dan memalukan negara yang dihuni oleh majoriti penganut Islam ini, yang disifatkan oleh Presiden AS, Barack Obama sebagai contoh negara toleransi dan kepelbagaian ketika lawatannya ke negara ini yang berakhir semalam.
Wanita Pertama AS itu menjadi fokus perbahasan hangat di Internet berhubung toleransi agama dan hak wanita apabila Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring mengirim mesej kepada beribu-ribu pengikutnya di laman Twitter dengan mendakwa beliau keberatan untuk bersalaman dengan Michelle semasa majlis sambutan rasmi, semalam.
Tifatul merupakan pemimpin Islam konservatif yang menolak untuk menyentuh wanita yang bukan muhrim dan baru-baru ini mengejutkan masyarakat liberal dengan menyatakan dana AIDS sebagai pembaziran wang rakyat serta mengaitkan bencana alam dengan keruntuhan akhlak.
"Saya cuba mengelak kedua-dua belah tangan saya bersentuhan dengan Michelle tetapi dia menghulurkan tangannya terlalu rapat dengan saya, kemudiannya kami bersentuhan," katanya dalam mesej yang mencetuskan ribut kutukan di laman blog Indonesia yang hiperaktif.
Namun, rakaman video pertemuan itu menggambarkan situasi sebaliknya kerana Tifatul kelihatan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Michelle seperti orang kenamaan lain.
Tifatul hari ini mempertahankan dirinya melalui komen di dalam Twitter dan Facebook, berbanding daripada mengadakan sidang media untuk menjawab tuduhan itu
"Saya masih memegang kepada kata-kata saya yang saya tidak akan bersalaman dengan wanita bukan muhrim," tulisnya di dalam Twitter kepada 110,000 pengikutnya .
Tambah beliau, beberapa keadaan berlaku secara tiba-tiba atau beliau menemui seseorang yang tidak tahu mengenai pendiriannya.
Kebanyakan pengguna Twitter membuat kecaman pedas kepada menteri itu.
"Sudah tentu Menteri Komunikasi bodoh, naif dan tiada pendirian tetap." kata seorang pengguna.
Seorang pengguna lagi menyifatkan perdebatan ini bukanlah kerana isu berjabat tangan tetapi penipuan. - AFP

No comments:

Post a Comment