DAMSYIK 11 Nov. - Dua kumpulan Palestin yang bertelagah, Hamas dan Fatah menamatkan pusingan terbaru rundingan mereka malam tadi tanpa mencapai sebarang persetujuan bagi merapatkan jurang perselisihan antara mereka berhubung isu keselamatan.
Pertelagahan Hamas-Fatah yang membawa kepada perang pada 2007, telah menjejaskan perjuangan mereka untuk merampas kembali tanah air Palestin yang ditawan Israel, sekali gus menyebabkan kuasa luar iaitu Syria, Iran, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi politik Palestin.
Rundingan itu adalah yang kedua sejak September lalu dan diadakan bagi menangani masalah kawalan terhadap jentera keselamatan Palestin yang berpecah antara Genting Gaza yang dikawal Hamas serta Tebing Barat yang dikuasai Fatah.
"Kami tidak mencapai sebarang persetujuan," kata Azzam al-Ahmad dari Fatah, kumpulan sekular yang setia kepada kerajaan Palestin pimpinan Presiden Mahmoud Abbas yang disokong Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.
Seorang lagi pegawai Palestin berkata, kedua-dua puak itu turut gagal menentukan tarikh pusingan rundingan ketiga, namun beliau enggan memberikan butirannya.
Rundingan itu bermula kelmarin dengan delegasi Fatah termasuk pegawai perisikan kanan Majid Farah dan timbalan pemimpin Hamas, Moussa Abu Marzouk mewakili pergerakan itu.
Fatah membantah cadangan untuk mengurangkan kawalannya ke atas pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin selepas mengusir golongan yang bersimpati dengan Hamas.
Hamas berkata, sayap risikan Pihak Berkuasa Palestin yang disokong AS dan beroperasi di Tebing Barat dengan kebenaran Israel, bekerjasama dengan rejim Zionis Israel menentang Hamas dan kumpulan-kumpulan lain yang melancarkan tentangan bersenjata ke atas Israel.
Anggota politburo Hamas, Izzat al-Rishq minggu lepas berkata, rundingan mengenai kerjasama keselamatan dengan Fatah boleh merapatkan jurang perselisihan antara kumpulan-kumpulan Palestin tetapi perdamaian sebenar adalah proses yang rumit dan memakan masa. - Reuters
No comments:
Post a Comment