Friday, November 12, 2010

Belajar 5 jam dapat 5A

BATU PAHAT: Semangat bersaing sesama adik-beradik membolehkan pasangan kembar, Farah Alia dan adiknya, Fatin Alia Mohd Zani, 12, memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Pencapaian cemerlang dua beradik itu melengkapkan kejayaan Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam di sini apabila seramai 30 murid memperoleh 5A berbanding 19 murid tahun lalu.

Farah Alia anak sulung daripada empat beradik berkata, sikap ingin bersaing dengan adik kembarnya menyaksikan mereka sama-sama menelaah pelajaran setiap hari bagi memastikan memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Katanya, setiap hari mereka meluangkan tiga jam mengulang kaji pelajaran selain dua jam tambahan melakukan tugasan sekolah sebelum tidur.

“Paling penting menjaga solat bagi memperoleh keberkatan dan ibu bapa kami menyediakan jadual harian.

“Setiap hari bermula jam 3 petang, kami akan menelaah selama tiga jam termasuk melakukan latih tubi bagi subjek tertentu bagi memastikan kami benar-benar mahir.

“Pada waktu malam pula, kami melakukan tugasan sekolah sebelum tidur jam 11 malam,” katanya.

Menurutnya, ibunya, Rohana Hashim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Isa akan mengajar Matematik manakala bapanya, Mohd Zani Paimon, kakitangan Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd akan mengajar Bahasa Melayu di rumah.
Sementara itu, adik kembarnya, Fatin Alia berkata, bagi memastikan mereka mempunyai masa mengulang kaji pelajaran, ibu bapa meminta mereka dikecualikan mengikuti sekolah agama selama setahun.

Katanya, keadaan itu memberikan mereka lebih masa mengulangkaji pelajaran selain memberikan tumpuan penuh kerana tidak perlu mengambil peperiksaan di sekolah agama.

No comments:

Post a Comment