12/11/2010 3:41pm
PETALING JAYA 12 Nov. - Penggunaan Facebook dan YouTube dalam tugas pengamal media masih rendah walaupun populariti laman sosial itu di kalangan masyarakat kian melonjak, demikian menurut kajian yang dijalankan sebuah syarikat perhubungan awam dan universiti tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Intelectasia, Manminder Kaur Dhillon berkata, hasil kaji selidik bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mendapati blog menjadi pilihan popular pengamal media sebagai alternatif bagi memperoleh pandangan berbeza mengenai sesuatu isu.
Beliau berkata, penggunaan blog terserlah apabila 68 peratus daripada 442 wartawan dan editor daripada 27 agensi berita yang ditemubual menyatakan mereka membaca lebih tiga kali atau secara kerap berita-berita dalam laman blog bagi mendapatkan pandangan alternatif mengenai sesuatu isu yang dilaporkan.
“Biarpun laman sosial seperti YouTube dan Facebook meningkat penggunaannya namun pengaplikasiannya dalam tugasan profesional di kalangan pengamal media (wartawan dan editor) di Malaysia masih rendah.
“Hanya 37.8 peratus daripada 442 wartawan dan editor yang menyertai kaji selidik menyatakan mereka menggunakan laman sosial Facebook untuk tujuan profesional manakala separuh daripada responden iaitu 50.4 peratus memberitahu mereka tidak kerap menggunakan YouTube,” katanya ketika membentangkan hasil kajiannya bertajuk ”Kaji Selidik Amalan Perhubungan Media 2010 di sini, hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment