Wednesday, November 24, 2010

Tabung Haji jadi contoh - Jamil





Ismail Sabri Yaakob dan Mukhriz Mahathir disambut Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (dua dari kanan) sekembali mereka dari tanah suci Mekah dengan penerbangan pertama di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG 23 Nov. - Banyak negara di dunia termasuk Bosnia- Herzegovina mahu mencontohi jejak cemerlang Tabung Haji dalam menguruskan perjalanan jemaah menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, kebanyakan agensi pengusaha dan penganjur jemaah haji seluruh dunia yang ditemui di Mekah dan Madinah menyatakan keinginan mereka untuk menjadikan Tabung Haji sebagai contoh.
"Mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai contoh yang berkesan dan bermakna apabila menguruskan jemaah haji.
"Mudah-mudahan kakitangan Tabung Haji dapat pertahankan prestasi agensi ini dan terus bersemangat untuk membantu jemaah haji pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi penerbangan pulang kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Turut sama dalam penerbangan itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mengulas kenaikan kos haji pada tahun depan, Jamil Khir berkata, pihak Tabung Haji diminta meneliti perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.
Kata beliau, kenaikan kos haji tersebut tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan sewa tempat tinggal, pengangkutan dan makan minum.
"Tambahan pula kini kerajaan Arab Saudi menyediakan pengangkutan kereta api Metro Mekah dan bas untuk pergerakan para jemaah serta tidak membenarkan kenderaan kecil memasuki Arafah bagi mengelak kesesakan.
"Perkara ini perlu dibincangkan dengan sewajarnya dalam memastikan jemaah haji negara tidak dibebani kenaikan kos haji," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga semalam, seramai 44 jemaah haji negara meninggal dunia di Tanah Suci.
Mengenai isu kekeliruan tarikh Hari Raya Aidiladha yang timbul baru-baru ini pula, beliau berkata, penetapan dan pengisytiharan yang digunakan di Arab Saudi tidak semestinya diterima pakai oleh negara lain.
"Ini kerana terdapat perbezaan waktu, matlak (tempat terbit dan terbenam matahari) dan kriteria penetapan awal hijrah yang digunakan," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, umat Islam negara ini harus menerima pakai pengisytiharan yang dibuat oleh penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang jatuh pada 17 November lalu sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha bersamaan 10 Zulhijjah.
"Juga, tarikh 18, 19 dan 20 November pula perlu diterima sebagai hari tasyrik," katanya.

No comments:

Post a Comment